BUNYI APA ITU?


Assalamualaikum dan salam ukhwah.

Setelah aku usai membersihkan diri, lantas aku laksanakan solat zohor. Pintuku tutup rapat bagi mengelakkan ganguan bunyi dari luar bilik. Seperti biasa yang dilakukan, aku membentang sejadah bewarna coklat dan terus menyarung telekung yang baru sahaja dibasuh. Sebelum itu, tanganku seperti biasa mengapai sebuah kitab dan diletakkan diatas sisi katil kerana malas untuk bangkit mengambilnya kemudian. Kadang-kadang, hanya diletakkan rapi diatas katil, namun malas untuk membukanya. Biasalah, malas itu tetap ada. Seperti rutin biasa yang aku mulapraktikkan di kolej baru-baru ini, sebelum aku mulakan solat zohor dan solat 5 waktu yang lain dengan 'tambahan' perisa. Rasa kehilangan jika aku tidak lakukannya. Malas tetap ada, namun aku utuhkan juga. Akhirnya setelah usai satu rakaat demi rakaat, salam yang terakhir dapat aku ucapkan. Alhamdulillah, selesai tunai kewajipan.

Setelah selesai memberi salam, rutin yang kadang-kadangnya aku suka lakukan, dan kadang-kalanya malas untuk dilakukan. Wirid selepas solat, dimulakan dengan beristighfar dan diakhiri dengan susunan jari jemari menadah kelangit dan berdoa. Kemudian, susunan jari-jemari itu kulekapkan ke muka dengan perlahan. Lantas, aku terus mengambil kitab yang telah aku ambil didalam almari di bilik ku. Usia almari itu sudah memakan usia lebih kurang 13 tahun. Namun, ia masih utuh melaksanakan tugasnya di situ. Aku membuka kitab itu dengan penuh hemah kerana didalamnya ku tempatkan seakan-akan buku nota kecil yang didalamnya ada tercatat wirit al-mathurat. Aku membuka kitab itu sambil mulutku membaca al-fatihah sebagai pembuka bacaan. Pada masa yang sama, jari-jari itu membuka halaman terakhir yang aku baca. Tanda merah itu menjadi tempat terakhir bacaanku sebelum ini. Dimulakan dengan bismillah hirohman nirrohim.. Suaraku bataskan dan perkataan demi perkataan kubaca dengan penuh hemat. Selesai bacaan halaman pertama. Diikuti halaman yang kedua.

Dalam asyik aku membaca, tiba-tiba aku mendengarkan sesuatu yang aneh. Ya, bunyi seakan-akan ada orang meniup dari luar bilik. Aku terus berhentikan bacaan seketika untuk memastikan bahawa aku benar-benar mendengar bunyi itu. Sememangnya bunyi itu datang dari luar bilik. Jelas kedengaran bunyi angin dari bawah pintu itu dengan sangat perlahan. Bunyi seakan-akan ada orang tiup dari luar. Yang terlintas difikiranku pada waktu itu bahawa adik-adik ku yang cuba bergurau dengan aku. Namun, aku teruskan bacaan sehingga pengakhir bacaan pada halaman kedua. Kali ini, bacaanku lebih perlahan daripada bacaan awal tadi. Setelah selesai bacaan, ku tutup rapat kitab itu dan menyusun jari-jari itu dan membacakan doa selesai baca al-quran. Amin. Sepanjang bacaan aku hingga pengakhir bacaan doa, bunyi itu tetap menganggu fikiran aku. Apakah itu?

Perasaan ingin tahu aku sangat kuat. Lantas aku menanggalkan pakaian solatku itu dan diletakkan di atas katil. Aku masih dalam keadaan bersila. Keadaan yang sama semasa aku membaca tadi. Pergerakan ku bataskan kerana tidak mahu orang diluar tahu bahawa aku ingin melihat dia dari dalam. Aku dengan memberanikan diri memandang dibawah ruang antara pintu dan lantai itu. Apa yang aku lihat? Cuma lantai yang tidak ada siapa disana. Dengan erti kata lain, tiada siapa diluar bilik yang sudi menganggu aku tadi. Astaghfirullahal'azim... hatiku berdetik, bunyi apakah itu? Apakah itu? Aku terus mempersoalkan. Setelah perbuatan itu, aku tidak lagi mendengar bunyi itu. Ya, setelah aku mendengar semula, tiada lagi bunyi itu. Bunyi itu telah hilang walaupun kedengaran berpanjangan tadi. Jikalah bunyi itu datangnya pada waktu malam, sememangnya aku terus dapatkan bantal dan tidur. huhu.

Apapun yang terjadi tadi, bunyi itu datang dengan izin Allah, jika difikirkan secara logik, mana mungkin ada bunyi angin begitu kuat jika diluar itu tiada tingkap hanya berdindingkan batu dan tiada kipas terbuka. Mana mungkin boleh datang angin yang mampu hasilkan bunyi yang pelik itu. Insyaallah ada hikmah disebaliknya.

Setelah peristiwa itu, aku lantas menghadap leptop dan jari-jari ini menyusun kata menceritakan apa yang hati ini rasa. Mudah-mudahan, kurang rasa persoalan yang terbuku ini. Mudah-mudahan apa yang berlaku itu, tidak merosakkan apa yang telah aku bina. Amin.






::p/s:: dah lama tak buat karangan, hampir 3 tahun. bila dah terbuat tu, amek,, terabur tatabahasa.. hik3.

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel BUNYI APA ITU? Dicoret oleh NH pada hari Ahad, 2 Oktober 2011. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting BUNYI APA ITU?
 

Lets Join Us