S.A.B.A.R


Assalamualaikum W.T.B. dan salam sejahtera. Kebanyakan manusia yang hidup di dunia ini akan diberikan sesuatu kepadanya sama ada dipinta mahu pun sebaliknya. Namun, jika apa yang kita pinta tidak kesampaian, kita akan merungut. Jika sebaliknya pula, apa yang ingin kita jauhi, menghampiri. Disini, apa yang kita persoalkan ialah, dimanakah letaknya keadilan. Mula salahkan pihak-pihak tertentu dan juga menyalahkan takdir sedangkan diri sendiri yang harus dipersalahkan. Namun, ada juga kesalahan yang datang bukan dari diri kita. Apa yang harus kita lakukan ialah, renungkan kembali apa yang kita telah dilaksanakan menepati seruan ilahi mahupun sebaliknya.

Berbalik kepada topik yang diketengahkan ini, ‘Sabar’. Sejauh manakah keindahan sabar itu? Sememangnya, kesabaran yang benar-benar sabar susah untuk diperoleh melainkan dengan kekuatan dalaman iaitu iman. Ada orang boleh bersabar namun hilang kesabaran jika tahap kesabarannya telah pecah. Sememangnya bukan itu target kesabaran yang dipraktikkan dalam Islam. Islam mengajar kita untuk bersabar dan terus bersabar, bukan bersabar dan terus melepaskannya bila tahap kesabaran diuji.

Apa indahnya sabar, mari kita kaji ayat Al-Quran. Didalam manual hidup yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya (Al-Quran), Allah banyak menekankan kita sebagai orang beriman agar bersabar kerana “Innallah hama’as sobirin” yang bermaksud“Allah bersama-sama orang yang sabar”. Ada juga firman Allah yang menyebut bahawa “Wallahu yuhibbus sobirin” yang bermaksud, “Dan Allah mencintai orang-orang yang bersabar. Selain daripada itu, rasullullah juga pernah bersabda yang bermaksud “Sabar itu sebahagian daripada iman” riwayat al-Baihaqi. Jelas, tanpa sabar, kurang iman.

Kadangkala masalah yang kita hadapi datang bergolek, belum selesai masalah,datang masalah yang lain. Bak kata pepatah, “Bagai jatuh ditimpa tangga”.Namun, pernahkah kita mengkaji dan meneliti mengapakah masalah itu datang pada kita? Perkara utama sesungguhnya Allah menguji keimanan kita melalui musibah yang kita terima. Jika kita sabar menerima musibah, insyaallah ada balasan yang Allah berikan kepada kita. Bagaimana kamu mengaku bahawa kamu sudah beriman sedangkan kamu masih belum di uji? Ya, melalui dugaan diikuti dengan kesabaran itulah membuatkan iman kita lebih mantap dan kita akan rasa bersyukur dengan dugaan yang kita terima kerana berjaya dalam ujian kesabaran dengan cemerlang!

Merungut dan menyalahkan takdir adalah perkara yang biasa didengar didesingan telinga. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa setiap masalah yang datang itu adalah ujian dan jika kita berjaya hadapinya dengan tenang dan sabar, dosa kita akan terhapus. Selain daripada itu, orang yang bersabar akan dicukupkan ganjaran pahala sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Zumar : 10 yang bermaksud “ Sesungguhnya hanya orang yang bersabar yang dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batasan”. Selain itu, Allah juga ada berfirman yang bermaksud “Berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, ‘Kami milik Allah dan kepadaNya jua kami akan dikembalikan.’ Mereka itulah orang yang mendapat rahmat daripada tuhannya dan merekalah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah:155-157). Orang yang bersabar juga akan mendapat balasan syurga. Subhanallah, indahnya sabar,besarnya nikmat kesabaran itu.

Kadangkala kita sering memikirkan masalah yang kita hadapi terlalu berat bagi kita, payah, susah, sakit, perit dan sering menangis mengalirkan air mata kerana mengenangkan nasib kita. Air mata yang mengalir sesungguhnya memberi kesan yang positif terhadap tekanan yang kita terima. Setidaknya mampu mengurangkan beban yang terbuku dalam lunak hati sama seperti mengalirnya air mata yang dikeluarkan kerana merasakan sakitnya dugaan yang diberikan. Segala dugaan yang diberikan begitu terbeban dan beratnya seperti ingin hidup jauh dari pelusuk bumi. Bebannya! Tapi, pernahkah kita kembali semula kepada manual hidup kita iaitu Al-Quran? Mari kita lihat ayat Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang sering dibacakan dalam wirid selepas solat terutamanya wirid Al-Mathurat. Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa, Allah itu tidak akan membebani sesorang melainkan dengan kesanggupannya. Ia dapat pahala dari kebaikan yang diusahakan dan dapat siksa dari kejahatan yang dilaksanakan. Melalui ayat ini jelas bahawa, sememangnya sebelum kita terima dugaan, Allah tahu bahawa kita boleh menghadapinya kerana Allah itu maha pencipta dan maha mengetahui. Jadi, perlukah ragu-ragu pada kebesaran Allah? Yakinlah bahawa Allah itu ada dan perbanyakkanlah doa agar kita sentiasa dalam berkat kesabaran.

Sebagai renungan, jika kita merasakan bebanan yang kita terima adalah berat dan tidak sanggup kita hadapi, mari kita kenang dugaan mereka yang terdahulu dimana Rasulullah menghadapi golongn kafir dan berdakwah menyebarkan Islam. Keluarga Yasir yang disiksa. Para sahabat yang berjuang mempertahankan Islam, seseorang pemimpin negara yang menghadapi masalah kegawatan ekonomi negara serta berhadapan kerenah rakyatnya, seorang ayah yang bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal, seorang ibu yang rela berjaga siang dan malam menjaga anaknya yang dalam tangisan. Bukankah itu dugaan? Namun mereka ikhlas dan sabar hadapi semua itu kerana mereka tahu bahawa Allah menurunkan semua itu ada sebab yang tertentu. Ingatlah, jika kita rasa diri kita terbeban, ada lagi yang lebih terbeban. Allah ada berfirman dalam surah Al-Baqarah : 216 yang bermaksud " Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, pada hal ia buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui".

Kajilah Al-Quran kerana isinya sangat indah. Jadikalah Al-Quran sebagai teman di dunia dan akhirat. Hadapilah kesabaran dengan senyuman kerana disebalik kepahitan dalam kesabaran itu besar ganjarannya. Jangan mudah melenting tapi berzikir melembutkan hati yang marah. Diam lebih baik. Pendam itu kurang baik. Jadi, lepaskanlah apa yang terkandung itu kepada Allah kerana hanya Allah yang mengetahui perasaan hambanya. “ Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan itu. Maka Allah mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya; dan Allah maha kuasa atas segala sesuatu”. (Al-Baqarah:284).

Bazirkan air mata itu hanya kepada Allah kerana mengenangkan dosa yang kita laksanakan kepadaNya. Airmata itu permata yang sangat bernilai dimana tidak ada hak orang lain melihatnya kerana permata air mata itu sangat berharga. Sembunyikan masalah yang kita punya kerana jika orang melihat itu, orang akan mentafsirkan bahawa kita lemah. Jika kita lemah, kita akan ditindas dan terus ditindas. 'Namun setitis permata kerana takutkan Allah ia umpama permata yang indah lagi gemerlapan' (Ustaz Pahrol 2011). Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud "Ada dua titisan yang Allah cintai. Pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan Allah". Jadi mengapa perlu membazirkan air mata untuk perkara yang sia-sia? Menangislah sebagaimana wanita ansar menangis kerana beliau tiada anak untuk dihantar perang. Menangislah sebagaimana Sayidina Omar takut bahawa sekiranya hanya dia yang tidak masuk kesyurga. Serta, menangislah sepertimana Sayidina Ali yang menyatakan " Wahai dunia... janganlah kau tipu aku. Tipulah orang lain". Inilah mereka yang menggunakan permata indah ini hanya untuk Allah semata dan bukan untuk dunia seperti manusia yang cintakan dunia yang menangis apabila hartanya berkurang, menangis apabila masalah datang, menangis apabila tiada jalan penyelesaian. Ingatlah bahawa, penghuni syurga itu banyak dukacitanya didunia dan penghuni neraka itu, banyak sukacitanya didunia. Renung-renungkan...

Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tak selalu bahagia.
Sedekahkanlah sebuah senyuman walau dihati tak mampu lagi bertahan.
Belajarlah memaafkan walau dirimu terluka,
Berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran,
Hiduplah dengan iman walau hari dipenuhi dugaan,
Berpeganglah kepada Allah walau Dia tidak kelihatan.

Amalkanlah doa-doa yang diajar dalam al-Quran kerana ia Kalam Allah. Hayati dan amatinya.
"...Ya Tuhan kami, janganlah engau hukum kami apa yang kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana engakau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah engkau pikulkan kami kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum kafir". ( Surah Al-Baqarah 286).

Bersabarlah dalam bersabar kerana dalam kesabaran ada keberkatan yang berkekalan. Sakit dan siksa didunia ganjarannya syurga selamanya jika kita bersabar. Sabar itu indah!


Sumber rujukan::
1) Al-Quran dan Terjemahannya (Resmi Uthmani) terbitan Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.
2) Solusi isu no 31 "Sabar itu indah" terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
3) Al-Ma'tsurat Sughra (Imam Hassan Al-Banna) terbitan Al-Hidayah Publications
4) Diari Muslimah 2011 terbitan Kharisma Network Sdn. Bhd.
5) GenQ isu no 2 terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.





 

Lets Join Us