Misi Mentadabbur Alam

Bukit Broga Mentadabbur Alam
[Broga Hill View] [400m Elevation] [1.6km Track length]

Dengan Nama Allah, Bismillah
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka
[3:191]

Perjalanan merungkai rahsia alam nan indah demi mencari kekuatan dan kekuasaan pencipta Alam. Indahnya ciptaan Pencipta dalam memelihara dan melukis alam ini dengan penuh hikmah dan teratur yang mana penciptaan alam ini yang teliti melalui beberapa proses yang sememangnya melalui penelitian yang terperinci sahaja mampu menjadikan alam ini begitu sempurna. Dialah Al-khaliq. Allah yang berkuasa atas siap-siap sesuatu.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang tidak lekang selepas menerima pelbagai hikmah sepanjang permusafiran. Impian untuk mentadabbur alam diperkenan dan di izinkan Allah.

Niat utama adalah semata-mata untuk melihat kebesaran Allah sepanjang perjalanan dalam misi mentadabbur alam. Misi tadabbur alam yang pertama ialah Menawan Bukit Broga di Semenyih. Mulakan dengan bismillah dan tetapkan niat yang utama. Melihat kebesaran penciptaan Allah. Kerana semua perkara akan menjadi besar kerana niat, dan akan menjadi kecil kerana niat. Jadi, tetapkan niat sebelum memulakan segala perkara. Paling tidak mulakan dengan nama Allah, "Bimillah".

Perjalanan sepanjang laluan pendakian di Broga tidak terlalu sukar berbanding laluan pendakian semasa mendaki Bukit Cenderawasih (Gua Sami) di Perlis. Laluan lebih selamat dan tidak terlalu curam.

Perancangan ialah mendaki awal untuk melihat matahari terbit, tetapi tidak berkesempatan kerana kelewatan bangunnya. 4.30pg baru bangun. Persiapan dan perjalanan sahaja sudah memakan masa. Lihat sahaja, jika ada program, sanggup sahaja bangun awal dan bersiap awal, tetapi sungguh susah untuk bangun awal untuk tahajjud dan subuh. Allahu.

Sampai-sampai sahaja perlu membayar tapak parking kereta sebanyak RM2 dan terlalu banyak kereta sudah terparking di situ. Melihat daripada jenis kenderaan yang ada, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merangkumi pelbagai bangsa, agama dan kekayaan. Parking di tempat yang 'asal boleh' tak kira sayang kereta dah walaupun mahal. Jelas, pemilik itu lebih mementingkan kesihatan diri daripada kesihatan kereta.

Para peniaga juga sudah bersiap-siap dengan kedai dan ada juga yang dah mula berniaga. Benar hadis nabi, 90% daripada sumber pendapatan adalah daripada perniagaan. Ramai orang melayu islam mengambil kesempatan untuk berniaga dikawasan tersebut walaupun pemilik tapak parking jauh lebih untung walhal hanya ladang kelapa sawit sahaja. Jangan dipandang rendah pada penjaga parking kerana boleh jadi pendapatan sehari dia boleh menjangkau ratusan ringgit.

Sepanjang pendakian, sedikit lelah kerana sudah lama meninggalkan aktiviti seperti itu. Namun, semangat itu menjadi pembakar semangat untuk meneruskan. Semangat itu lah yang membuatkan kami semua selamat sampai ke puncak Broga. Jika mendaki seorang diri mungkin lebih laju, tetapi mendaki secara berjemaah. Perlu memberi semangat kepada yang dibelakang dan membantu. Boleh jadi juga bila mendaki secara perseorangan tidak akan sampai puncak kerana sudah terlalu letih dan tiada yang memberi semangat dan bantuan semasa pendakian. Hidup ini perlu berjemaah, perlu bekerjasama.

Setelah sampai ke puncak, subhanallah! Sungguh indah ciptaan Allah. Tenang, dingin, nyaman, aman, cantik. Indahnya lukisan alam. Tidak rugi mendaki sejauh lebih kurang 1.6km selama 1jam untuk mendapatkan pemandangan yang subhanallah begitu indah! Di gambar sahaja sudah indah, melihat dengan realiti mata itu jauh lebih indah! Rumput lalang dengan campuran objek batu mengindahkan lagi suasana. Lalang itu selari pergerakan dengan tiupan angin. Jangan kita jadi seperti lalang yang tidak teguh pada pendirian, sentiasa mengikut pada arus perubahan tanpa memperkukuhkan kestabilan. Mujur punya akar yang masih ada tapak dan kekuatan pada pegangan. Menjadi tempat pijak dan alas duduk. Mujur masih bermanfaat menutupi alam dari hakisan. Jadilah seperti batu, tetap pada kedudukan, tidak mudah diubah dam terubah. Namun, jangan terlalu keras seperti batu hati itu. Batu juga boleh melekuk kerana sentuhan titisan air yang lembut. Sama juga hati, sekeras manapun hati itu, akan lembut juga jika mendapat sentuhan yang lembut.

Bukit Broga Mentadabbur Alam
[Pemandangan dari puncak Bukit Broga]


Waktu turun lebih pantas berbanding waktu mendaki. Samalah seperti iman dan kejayaan. Menuju iman itu susah dan sukar, banyak halangan dan lambat untuk sampai tahap keimanan yang tinggi. Namun iman itu untuk turun dan jatuh sangat mudah!

Dilihat, manusia itu sanggup berpenat lelah mendaki bukit itu kerana mereka sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan. Tanpa mengira masa dan wang yang perlu dibayar yang penting kesihatan dijaga. Namun, apakah mereka melakukan subuh dan dhuha? Semasa kami sampai sahaja dalam jam 7 masih ada yang bertelekung. Mahu dhuha atau mahu subuh? Alhamdulillah, dia masih mahu melaksanakan subuh kewajibannya. Dhuha itu hanya sunat, tetapi subuh itu wajib. Sanggup mendaki sebelum subuh sehingga lupa kewajiban? Allahu. Moga kamu bukan dalam kalangan itu. Sepanjang penelitian perjalanan mendaki Broga, lensa mata ini mula mencari kata-kata dan pemerhatian untuk mengeluarkan hipotisis dan analisis. Ramai Manusia itu sedar kepentingan menjaga kesihatan diri. Berapa ramai pula yang sedar kepentingan menjaga kesihatan hati?

Semasa di atas Bukit Broga juga kelihatan ada beberapa orang yang membawa plastik hitam dan sepanjang dia berjalan disekitar puncak, dia mengutip sampah-sampah dan juga bertanya kepada pendaki lain sama ada ingin membuang sampah mahupun tidak. Lihatlah, baiknya hati dia mengutip sampah tanpa paksa dan secara rela. Menuruni Bukit Broga bersama sampah-sampah tersebut bagi saya agak sukar jika seseorang itu tidak biasa dengan keadaan bukit yang curam dan licin itu. Namun, dia sanggup membawa turun sampah tersebut sejauh 1.6KM ke tanah rata di bawah. Sudah tentu dia itu seorang yang cintakan alam. Saya kira bukan seorang, tetapi ada juga insan lain yang turut peka terhadap keindahan alam yang perlu dipelihara pemandangan indah itu. Lihat, manusia jika sedar alam itu perlu dipelihara, akan lakukan secara rela kerana kesedaran dan kepuasan. Namun, berapa ramai yang sedar bahawa kebersihan hati itu perlu dipelihara seperti mana alam ini perlu dipelihara? Akal memutar ayat:

Ramai orang pecinta alam, namun berapa ramai orang yang mencintai sang pencipta alam?

Kami terus bermusafir ke daerah baharu di kawasan Kuala Kubu Baru iaitu menuju ke Sungai Chilling untuk misi mentadabbur alam yang kedua dan terakhir. Alhamdulillah perjalanan mudah. Sekali lagi, subhanallah! subhanallah! subhanallah! Terlihat ikan-ikan yang sihat sedang berenang-renang riang secara berkumpulan dan segerak. Berebut-rebut makan pada makanan yang diberi oleh manusia. SUngguh jinak. Tidak pernah dilihat indahnya sungai seperti itu sebelum ini. Alhamdulillah, masih diberi mata untuk melihat bukan sahaja melalui pandangan mata, tetapi pandangan iman.

Perjalanan untuk sampai ke destinasi terpaksa meredah 5 kali sungai [jika tak salah]. Laluan yang tidak begitu sukar tetapi agak juga mencabar. Jauh. Tetapi tidak berapa ingat berapa lama tempoh perjalanan. Setiap sungai itu pasti ada ikan yang berenang. Cantik! Bunyi air sungai itu sungguh menenangkan. Seolah-olah terapi muzik yang mendamaikan. Subhanallah, muzik alam itu jauh lebih menenagkan dan menghiburkan sebenarnya. Dengan iringan bunyi aliran air, cengkerik, angin sudah cukup sempurna dan menenangkan. Subhanallah.

Di akhir perjalanan, terlihat aliran air yang cukup tinggi. Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah! Terlihat juga ikan sedang berenang-renang riang dikaki kami. Sungguh jinak. Air yang sejuk dan mendamaikan. Seperti tidak mahu pulang. Sungguh, tidak pernah dilihat air terjun dan sungai secantik itu selama ini. Jika sungai didunia itu sudah cukup indah ciptaannya, pasti di syurga itu sungainya jauh lebih indah!

Ikan-ikan itu bergeraknya dalam kumpulan, pergerakan berirama. Begitulah kita, perlu juga seiring bersama. Hidup perlu berjemaah.

sungai chilling
[sebahagian ikan yang sempat berposing]

Alhamdulillah, misi mentadabbur alam berjaya. Diberi izin Allah untuk melihat kebesarannya. Bila kita lihat alam ini indah dan cantik, percayalah bahawa syurga itu jauh lebih indah dan cantik. Jika kita melihat dunia ini menakutkan dan menggerunkan, percayalah di neraka itu jauh lebih menakutkan dan menggerunkan.

Jika kita melihat alam ini terlalu cantik dan berkata, 'cantiknya!'. Maka cantik itulah yang kita dapat. Tetapi bila kita melihat alam itu cantik dan berkata 'Subhanallah'. Maka pahala seiring dengan ucapan tersebut. In Sya Allah.

Dalam misi mendatabbur alam ini ada dua golongan. Golongan pertama ialah golongan yang mendapat penat dan kepuasan. Dan golongan kedua ialah golongan yang mendapat penat, kepuasan, dan manfaat (pahala). Walaupun masa pendakian, tempat, laluan adalah sama, tetapi niat itu yang membuatkan mereka berbeza. Jika tetapkan niat kerana Allah, In Sya Allah, pahala seiring dengan kepenatan dan kepuasan. Tinggal pilih, golongan manakah kita?

Perjalanan pulang pula singgah di salah sebuah masjid di daedah Hulu Selangor untuk Jama' Qasar. Alhamdulillah, jamaah kami bukan jenis yang mengabaikan kewajiban sebagai seorang Islam. Solat amat dititik beratkan dan tidak lekang dibibir untuk solat jika belum solat. Semasa singgah di sebuah masjid, kelihatan begitu ramai. Sedikit keluhan kerana ruang solat wanita akan dibuka tirainya untuk memberi laluan pada ceramah tersebut. Maka, kami tiada privasi untuk solat. Sedikit kurang selasa pada awalnya. Setelah usai mengambil wudhu, alangkah terkejutnya kami bila membaca banner ceramah tersebut yang bertulis, "Inspirasi Ammar". Subhanallah, sungguh tidak dijangka. Sebelum ini hanya melihat di facebook dan akhbar, kini didepan mata. Tiada kesempatan bertemu Ammar namun Allah merangka untuk kami bertemu ibu dan ayahnya disitu. Amat sungguh berat untuk meninggalkan majlis ilmu itu, namun perjalanan harus diteruskan. Perangkaan Allah itu indah! Allah menggerakkan hati kami untuk berhenti di masjid itu walhal sebenarnya kami telah terlepas satu masjid sebelum ini.

Sepanjang aktiviti mentadabbur alam, banyak hikmah dan ibrah yang dapat dirungkai. Belajar dengan alam dan melihat kebesaran Allah melalui keindahan Alam. Dahulu, ada pensyarah memberitahu, setiap orang itu sebagai contoh melihat pokok dengan pelbagai perspeksi yang berbeza. Ada yang melihat hanya pada nama pokok. Ada yang melihat pokok dan memikirkan bagaimana pokok itu hidup dan membesar. Dan ada yang melihat pokok itu dengan memikirkan bagaimana boleh terjadinya pokok itu. Dan ada yang melihat pokok itu langsung terus dapat melihat Allah melalui kekuasaannya. Subhanallah. Pada waktu itu, sedikit mempersoalkan hal itu, mana mungkin boleh melihat Allah hanya dengan melihat pokok. Kini benarlah, kata-kata pensyarah tersebut. Kerana, setiap orang itu ada hijabnya mengikut tahap imannya. Makin tinggi imannya, maka makin semua perkara dilihat akan terlihat Allah. Bukan melihat pada zat, tetapi melihat pada sifat.

Melihat pada kehebatan keindahan alam, sudah tentu Pencipta Alam itu jauh lebih hebat! 

Permusafiran pada tanggal 26 Januari 2014 menggamit 1001 kenangan dan cerita yang tidak dapat dilupakan. Hikmah itu sebenarnya jauh lebih mahal daripada pengalaman. Terama kasih kepada sahabat-sahabat yang menjayakan misi mentadabbur alam. Syukran. Semoga ukhwah kita ini tetap fillah!



Hobi baru: Mengembara sambil mentadabbur alam :)


p/s: Misi Mentadabbur Alam ini hanyalah tajuk yang diberikan oleh saya, bukan tajuk rasmi. 


27 Januari 2355 | Umbai, Melaka
Edit 2/2/2012_10:13PM

mentadabbur alam | musafir | riadah | rehlah | Broga Hill | Sungai Chilling

 

Pendek Itu Menarik, Labuh Itu Cantik

[kredit]

Dengan nama Allah tangan menari laju, menyebarkan kata menyingkap usul tanpa terpaksa dan paksaan. Pendek itu menarik tertarik dan memikat. Manakala labuh itu cantik hanya beberapa hati sahaja akan terpikat. Pendek itu banyak edition dan bermusim manakala labuh itu limited edition. 

Ramai masyarakat hari ini mengenakan pakaian Islam, kononnya Islam. Tetapi hakikatnya islam itu hanya pada Islam. Mungkin terikut-ikut dengan perkembangan rentak gaya pemakaian wanita hari ini. Yang pendek itu banyak layernya, mungkin nampak lehernya, banyak warnanya, banyak terjual dipasaran semasa, sentiasa mengikut peredaran masa, sentiasa menjadi rebutan dan pilihan, mudah didapatkan, murah dipasaran. Selain daripada itu, yang pendek itu juga tertarik dan pada pandangan. Semuanya ingin diperlihatkan sama ada yang dihadapan mahupun yang dibelakang. Apakah lupa bahawa ada mata yang memandang tak keruan. Apakah lupa syarat yang perlu diturut semasa memakainya. Bila ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa maka sesempoi-sempoi manusia mudah melihat segala aset yang seharusnya terpelihara indah. 

Labuh itu cantik? Ah, tidak la, rimas, panas, macam bendera berkibar-kibar. Na, itu suara kecil jahiliah. Jangan dipersalahkan manusia yang berkata seperti itu, kerana mereka tahu tapi mereka tidak sedar tentang pengetahuan mereka itu. Mereka tahu, perlu menutupi perhiasa, mereka tahu tidak boleh jarang. Ya, mereka tahu kerana rata-rata masyarakat hari ini sudah peka terhadap cara pemakaian Islam yang sebenar. Namun, mereka belum ditiupkan kesedaran untuk melaksanakan pemakaian berlandaskan syarat islam. Cantik sangat yang labuh ini? Anda lihat sahaja mereka yang bertudung labuh, lihat la dengan mata dan fitrah hati. Indah sangat, cantik sangat. Dan mata yang melihat ini bukan calang-calang mata, in sya Allah mata yang melihat ini berazam untuk menjadi seperti anda dan berazam untuk beristerikan orang yang berpakaian seperti anda, dan berazam untuk mendidik anak-anak anda berpakaian seperti anda.

Eh, sebentar. Anda itu siapa? Saya ke? Apa kaitan saya dalam cerita awak? Anda itu kamu la, bukan kata nama, tetapi anda itu awak / you / hang / mung / mu dan sebagainyanya lah. Kenapa anda? Sebab anda telah dipilih Allah untuk membaca penulisan saya yang tidak seberapa ini. Apa kata anda lihat aa yang anda pakai jika keluar dari rumah. Maksud saya tudung saiz apa yang anda pakai? Anak tudung, anak tudung ninja, saiz XS, S, M, L, XL, XXL, XXXL, atau tudung seperti orang Afrika? Tudung seperti orang Afika itu bagaimana? Na, cuba anda pakai telekung, itulah saiznya, malah lebih labuh dari itu tahu. 

Sebelum keluar, lihat dahulu cara anda berpakaian. Menutup auratkah? Aurat perempuan itu macam mana? Aish, perlu diajar semula ke? Tak mengapa, aurat wanita muslimah itu adalah semua kecuali telapak tangan dan muka. Maka yang lainnya itu adalah aurat. Tapi saya bukan muslimah la, saya biasa-biasa sahaja. Tak mengapa kot. Ehem. Muslimah itu wanita islam. Anda islam kan? Maka secara automatik anda adalah muslimah. Tidak boleh kata tak boleh, muslimah itu adalah anda. Anda wajib menutup semua kecuali muka dan telapak tangan. Ini termasuklah, kaki anda yang comel tu, lengan anda yang putih tu yang mana kebanyakan muslimah tidak mengambil berat tentang perkara itu. Erm,, nak bagi tahu satu rahsia ni. Jangan bagi tahu orang lain ye. Saya juga pernah mengalami zaman gelap. Muka gelap, hati gelap, tangan gelap, kaki gelap. Sebab tidak pelihara aurat dengan sempurna. Kaki dan tanga gelap sudah tentu tidak menutup kaki dan lengan. Alhamdulillah, sekarang sudah terpelihara kerana diizinkan Allah juga.

Lihatlah pada pemakaian, tudung anda. Tak perlu labuh macam pakai telekung tu. Tak perlu tebal guna selimut. Tapi cukuplah menepati syarat. Apa syaratnya? 
  • Anda berdiri dalam solat sambil dangan dilipatkan di atas paras pusat. Na, sampai situ harus ditutupi.
  • Belakang tu kenalah menutupi segala bentuk tali, sama ada tali leher, tali pusat, tali rapiah dan sebagainya.
  • Kiri dan kanan, perlu melepasi bahu
  • Tak jarang. Nak pakai jugak jarang? Boleh, tapi pakai inner tudung ye :p
Macam seronok je. Macam nak ikut je. Macam sempoi je.

Mulakan dari bawah, sikit demi sikit. Mula-mula kenakan tudung yang tidak jarang. Kemudian selesakan dengan tudung yang menepati syarat seperti diatas. Beralih kepada bidang 50, kemudian 55 dan 60 dan seterusnya sehingga selabuh telekung :) Saya masih di takuk 50. hee.
Dalam masa yang sama, peliharalah juga lengan dan kaki tu. Kaki awak tu comel tahu. Perlahan-lahan in sya Allah berhasil. Yang penting, perlu istoqamah. Nasihat saya, jangan terlalu drastik kerana kedrastikkan itu dikhuatiri akan hangat-hangat tahi cicak. Belum sempat nak sejuk dah kene pijak. Eh. Apa kaitan? Sebab apa perlu berlahan-lahan dan istiqamah? Kerana Allah suka pada orang yang istiqamah dan Allah lihat usaha dahulu. Jangan terlalu mengejar output kerana apakah output dalam produk yang singkat itu berkualiti?

Output selepas anda mengenakan pakaian yang ohsem muslimah ini, anda akan merasakan selamat, tenang, selesa. Serius! Bila anda malas nak pakai handsok atau stokin misalnya, anda akan rasa cukup tidak selesa dan tak aman kerana risau aurat anda diperhatikan. Ehem! Jangan malas-malas menutup aurat dengan sempurnya ya. Ingat, selangkah anda keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna, selangkah itu juga kaki ayah, adik laki, abang dan jika sudah berkahwin, suami dan anak lelaki anda. Tak kasihan kah pada mereka, kerana anda, dia ditarik sekali masuk neraka kerana tidak menutup aurat dengan sempurna? Kata love you my hubby, my dady, my bro till Jannah, tapi apa kes anda heret dia bersama jauh dari jannah malah masuk ke neraka. Moga dijauhkan Allah. 

Semasa dalam bulatan riang gembira. Ada seorang adik ini berkata. Bila saya berada dalam kumpulan ini, saya kuat untuk mengenakan tudung labuh sikit, tetapi bila tidak bersama dalam kumpulan ini, saya sorang-sorang. Rasa janggal dan pelik. Tak kuat lagi. Alhamdulillah, niat sudah ada kan. Moga dimudahkan. Kadang-kadang nak berubah itu payah, perit, pedih. Bukan perit kerana rimas dan panas pakai yang labuh-labuh ni, tetapi masyarakat itu yang buat kita panas telingga. Bukan begitu? Bertambah pula dengan keadaan keluarga yang mulutnya 'baik-baik' belaka. Allah, cukup tidak tahan. Sabar! Sabar! Sabar! Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Jika kita pilih jalan menuju Allah, Allah akan bantu. Percayalah!

Pendek itu Menarik, ingat! Menarik perhatian lelaki. Boleh jadi menaikkan nafsu amarah mereka. Jangan salahkan mereka jika ramai wanita yang dinodai, kerana andalah menjadi asbab ledakan nafsu mereka. Labuh itu cantik. Erm, menarik juga. Menarik hati bakal bapa dan mak mentua untuk dijadikan menantu. Tak gitu? Senyum

Moga kita menjadi pilihan Allah untuk terpelihara aurat dan dimasukkan bersama keluarga kita, sahabat kita, dan muslimin dan muslima yang lainnya. Ingat, neraka itu penghuninya dipenuhi oleh kaum wanita! Tazkirah buat diri saya juga. Yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari diri saya

Menuju Mujahadah! Salam cinta dan salam rindu buat semua muslimah yang membaca. 

Darul Islam_18012014_1434

Aurat | Muslimah | Berubah | Perubahan | Islam itu indah | Indahnya Aurat
 

Daie Itu

[kredit]

[Jiwa ini berhajat untuk menulis, namun jiwa ini lebih selesa membaca isi hati penulis buat masa ini. Ini ialah hasil penulisan yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha. Sangat terkesan dengan kata-kata ini. Memuatkan diri ini lebih kuat untuk memilih jalan yang pahit ini, kerana Syurga itu manis! ]

*****

Duhai hati-hati yang celik,

Hari ini, kita sudah mempunyai ramai penghafaz al-Quran. Kita juga sudah mempunyai ramai graduan agama. Setiap tahun, beribu-ribu pelajar agama merayakan konvokesyen. Begitu juga, kita mempunyai ramai professional dalam pelbagai bidang.

Syukur, alhamdulillah! Tapi kita masih kekurangan satu perkara. Kurang apa? Kita kekurangan daie. Kita kekurangan golongan agamawan dan profesional ini bangkit menjadi pendakwah.


Seorang Mengesani Ribuan Orang

Ummah rindukan daie yang mampu mengusap lembut hati-hati semua golongan. Dakwahnya sampai ke jiwa para cendikiawan, orang awam, kaum terpelajar, orang kurang pelajaran, penduduk kota, penduduk desa, penghuni gedung-gedung mewah mahupun rumah biasa. Daie yang dengan dirinya seorang boleh mengesani ribuan orang.

Kalau daie itu jumlahnya ribuan orang, lagi bagus. Boleh mengesani setiap ceruk alam, insya-Allah.

Umat hajat untuk melihat Islam yang berjalan dalam diri, keluarga, dan dalam aktiviti para pendakwah. Melalui dakwah, akan berlakulah perbaikan umat secara integral, dan mengeluarkan manusia daripada kepekatan jahiliah menuju cahaya Islam.


Penyeru Kepada Allah

Siapa mempunyai cita-cita mahu menjadi doktor hati umat? Mengajak orang lain kepada kebaikan. Tidak kira apapun kerjaya yang kita ceburi akan datang, kita boleh memilih untuk menjadi daie.

Samada kita seorang jurutera, atau doktor, atau ustaz, atau tukang kebun, atau petani, atau penoreh getah, atau penjual nasi lemak, atau juruteknik atau apa sahaja. Selitkanlah di hujung cita-cita ini mahu menjadi daie.

Daie yang macam mana?
Daie ini ada macam-macam sebenarnya. Ada:

1.      Ad-daie ilayya- hanya mengajak orang kepada individu tertentu.
2.      Ad-daie ilaina- hanya mengajak orang kepada kumpulan tertentu.
3.      Ad-daie ilallah- mengajak orang kenal Allah dalam hidupnya. Secara tidak langsung dia kenal juga induvidu dan kumpulan yang harus dia bersama.


Sebaik-baik Perkataan

Sungguh hebat kedudukan ad-daie ilallah ini sehingga Allah SWT mengiktiraf perkataannya di dalam al-Quran.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan, dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim yang berserah diri.” 
(Surah Fussilat: 33).



Duhai hati yang hidup,

Mari bermonolog dengan Allah… 
Aku datang kepada-Mu, duhai Allah. Aku mahu menjadi pekerja-Mu, duhai Allah. Aku hidup sebab hendak penuhi agenda-Mu, duhai Allah. Aku hendak buat apa sahaja yang Kau sukai, duhai Allah. Aku tidak mahu membuat apa sahaja yang Kau tidak sukai, duhai Allah.

Semoga niat baik di hati akan membuatkan Allah SWT sudi memilih hati kita. Lalu, dicampakkan rasa ‘izzah’ (mulia) bagi melantunkan ahsanu qaulan, sebaik-baik perkataan. Hingga, tidak jemu melantunkan kalimah-kalimah daie yang mengajak orang kepada Allah SWT.

Biar orang bosan dengan kita. Jangan sesekali kita bosan dengan orang. Ajaklah siapa yang terdekat,

“Jom, kita baca al-Quran sama-sama. Kita jadi hamba Allah yang baik.”
Mungkin ada hati yang berbisik,
“Erk! Macam poyo!”

Ya. Memang ada yang malu hendak bercakap tentang Allah dalam perbualan seharian. Takut nanti orang kata,

“Hek eleh, alim kucing konon.”
“Hipokrit! Uweks..”


Duhai hati,

Seronokkah kita membiarkan hidup kita tidak bebas? Bukan orang yang memenjarakan kita. Tapi, kita sengaja mengikat diri kita. Terkongkong dengan persepsi orang lain. Kita lalu tidak bebas hendak berbuat baik sebab orang. Sampai bila?

Terpulanglah kita mahu menjadi hamba kepada persepsi orang, atau hamba Allah. Kelak kita bertanggung jawab ke atas pilihan kita ni.

Pilihlah untuk menjadi daie. Tenang di hati. Dicintai Ilahi. Kasih makhluk bertaut sekali. Bahagia hidup hingga ke negeri abadi.


Cahaya Daie

Tanpa daie, masyarakat akan menderita penyakit bodoh.  Mereka akan diperdaya syaitan, jin dan manusia bila-bila masa sahaja.

Daie ibarat lampu pendaflour di jalan yang gelap. Ia memberi cahaya kepada pengguna jalan raya.
Daie juga bagaikan imam dan pemimpin. Mereka menjadi hujah Allah yang berjalan di atas muka bumi. Penyingkir kesesatan di fikiran manusia. Awan keraguan diarak pergi daripada hati dan jiwa mereka. Merekalah teladan dalam pembicaraan dan juga amalan.


Dakwah perlukan Kaedah, Baru Berfaedah

Hendak menjadi daie, bila-bila masapun boleh. Siapapun boleh. Dengan hanya memaniskan wajah, dan berkata-kata baik, kita sudahpun melakukan dakwah. Bahkan dengan menggeleng-gelengkan kepala apabila diajak berbuat maksiat, itu juga dakwah.

Hendak menjadi daie sejati perlukan kaedah dakwah. Kaedah dakwah ni ialah pemahaman tentang seluk beluk dakwah. Tanpa kaedah, kita bimbang dakwah kita lebih membawa kerosakan daripada manfaat.

Daie dengan kaedah berdakwah bagaikan dua sisi wang siling. Tidak boleh dipisahkan. Sebelahnya bercorak bunga-bunga. Sebelah lagi pula, ada nilai mata wang. Kalau ada sebelah sahaja, hilang nilainya.

Moga dengan kaedah dakwah ini, musuh-musuh Islam tidak dapat lagi menuduh para pendakwah Islam sebagai pengganas, pemaksa atau kaki penyibuk. Kaedah dakwah memandu para pendakwah sentiasa berhikmah, berpanduan dalam tindakan, tenang dan waras.

Apa kaedahnya? Tidak cukup ruang hendak bincang. Insya Allah, akan datang.


Daie Terbaik

Daie terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Bila bergelar daie, itu tidak bermakna baginda menjadi manusia yang terpisah daripada rutin manusia biasa yang lain. Bukannya, berpuasa 24 jam. Baginda berpuasa dan berbuka. Baginda juga berjalan di pasar-pasar. Bukannya, menganggap pasar itu jijik dan tidak sesuai untuk orang-orang soleh.

Apabila kita mempelajari kehidupan Rasulullah, kita akan menemui contoh yang paling tepat untuk menjadi daie buat umat.


Berjiwa Daie

Sunnah berdakwah,
sakit dan susah
namun,
awalnya saja payah,
akhirnya penuh barakah,
Allah sudahpun memujuk,
Akhir dakwahmu lebih baik dari awal dakwahmu,
Akhiratmu lebih baik daripada duniamu.

Jika kita tidak mahu berpayah-payah,
dalam berdakwah,
Kita kan payah juga,
Payah,
didera dosa membuang masa,
Bosannya merantai seluruh jiwa.

Wahai pendakwah,
Sabarlah dengan cacian manusia,
Jika ada 10 orang yang  membenci,
ada 1000 yang lain sudi menyayangi,
Jika ada 10 yang mengata,
Ada 1000 bangkit membela.

Namun,
andai seluruh dunia menghinamu,
Jangan pernah berputus asa,
Kerana kau punya kekasih yang Esa,
Dia tetap setia, selamanya,
Selagi kau setia mencintai-Nya,

Dengan setulus-tulus cinta.

---
"Berjuang memang pahit,
Kerana syurga itu manis,
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban,
Rela terhina kerna kebenaran,
Antara dua pasti terjadi,
Tunggulah syahid...
...atau menang..."

- Sunnah Berjuang 2, Nada Murni-
:)


 

Lets Join Us