Menulis Manusia

[Putrajaya]-hiasan semata-mata

Kerana terlalu lama ditulis oleh dunia, maka diri manusia itu lupa dan leka untuk menulis.

Dengan Nama Allah kalam mula berbicara, mungkin tidak seindah kalam cinta dari tuhan untuk dibanding dengan kata-kata dusta dari insan ini.

Sibukkah?

Ya, sibuk dengan hal dunia yang menghimpit erat ke dada sehingga sesaknya bukan kepalang. Sehingga diri hampir lupa pada Allah yang menciptakan sekalian alam.

Keberadaan diri yang sememangnya abid yang abadi ini tidak bisa lari dari caturan ilahi. Setiap hela nafas itu juga dengan izinnya Ilahi, mana mungkin bisa mentadbir diri sendiri.

Kerana kesesakan dan kesesatan ummat, insan ini berbicara. Melalui kalam dusta dan nista. Apakah daya diri yang dilumuri lumpur ini bisa membentuk manusia cintakan siapa tuhannya.

***

"Awak, sudah lama awak ditarbiyyah. Mengapa tidak awak cuba untuk mentarbiyyah pula"

"Ana belum bersedia enti. Ana tidak sekuat enti"

Saya melihat antara faktor mengapa ramai golongan-golongan usrah ini selepas menamatkan pengajian tidak mendapat tempat untuk diusrahkan. Mengapa? Walhal persatuan atau NGO tersebut adalah persatuan gergasi yang mana setiap negeri dan daerah ada sahaja wakilnya. Malah setiap Negara yang mana menempatkan pelajar Malaysia, pasti ada persatuan ini dimana-mana. Tetapi amat teramat pelik, rata-rata anak-anak mereka masih mencari kumpulan untuk meneruskan kebasahan jiwa dalam tarbiyyah.

Yang dibandar tempatnya, ya mudah. Namun bagaimana pula bagi yang pedalaman seperti saya?

Al-kisah jejak saya mencari tarbiyyah. Setelah dibasahkan jiwa oleh naqibah dengan manjanya disantuni hati ini untuk dekat dengan Ilahi, akhirnya berpisah kami kerana beliau ingin ke Amerika dan saya sudah habis belajar diploma.

Memasuki alam pekerjaan yang sungguh jauh di pedalaman, merasakan diri ini memerlukan santunan rohani dari murobbi. 7 bulan di alam pekerjaan dirasakan sepi meski sudah ada duit sendir, meski sudah ada rumah sendiri. Bebas. Namun hati itu terkunci. Mencari dimana saya bisa mencari murobbi. Setiap negeri saya hubungi, ada. Namun, hambar.

Maka saya tekad, melepaskan pekerjaan itu dan mencari tarbiyyah ke serata negeri melalui pengajian lanjutan di IPTA. Alhamdulillah ditempatkan diuniversiti ini.

Meneruskan deligasi ditarbiyyah sehingga tahap mentarbiyyah.

Saya akui, saya ini bukanlah insan yang bijak. Bukan insan yang tahu segala sisi hal. Bukan alim. Bukan insan yang solehah. Hakikat saya ini hanya insan yang paling lemah di antara yang lemah. Jika Allah mengizinkan dihamparkan segala dosa silam saya kepada mata ummah, maka saya yang pertama rebah tersungkur kebumi. Beratnya dosa masa silam ini hingga tiada kekuatan untuk bangkit. Sumpah.

Hakikat Allah juga yang memberi kekuatan yang luar biasa untuk bangkit dan membangkitkan singa-singa yang masih tidur.

Menulis manusia itu bukan semudah melukis manusia di atas kertas. Bukan semudah copy dan paste maka terus jadi manusia yang faham tentang siapa dia. Namun teramat amat sukar. Masa harus dikorbankan, duit harus dibelanjakan, fikiran ini sering kusut memikirkan penyelesaian masalah ummah walhal diri sendiri sendiri juga mempunyai masalah yang belum terus selesai. Tiada masa untuk berehat, tiada masa untuk bercuti, tiada masa untuk belajar, malah dengan keluarga sendiri juga susah untuk bersama.

Hal itu mungkin, ramai antara ahli usrah ini tidak mahu mengambil risiko untuk menjadi golongan pertama yang mana mampu mentarbiyyah manusia. Ramai beralasan, tidak bersedia untuk tidak mentarbiyyah manusia yang lainnya.


Kesan daripada golongan ini, maka lihat. Tercari-cari kemana harus pergi. Walhal diri sudah 4 tahun ditarbiyyah. Masih kata belum bersedia?

Saya menjumpai manusia, seawal usia 6 bulan dibulat gembirakan, langsung dari itu terus menggembirakan bulatan lain. Hebat bukan? Apakah mereka sedia? Tidak! Tetapi kerana usia 6 bulan itu sudah cukup membuatkan mereka faham mengapa perlu mengembirakan bulatan mereka sendiri.

Tarbiyyah selama mana pun, tanpa ada gerak kerja. Maka saya boleh kata,

"buat habis beras mak ekau saja jang oi"

Mengapa?

Ayuh lihat. Ibu yang melahirkanmu itu pasti mahu melihat anaknya itu berbakti padanya kelak.

Guru yang mendidikmu pasti ingin melihat anak muridnya mampu mendapat tempat yang baik dalam pekerjaannya.

Murobbi juga mempunyai rasa seperti itu. Namun kerana murobbi ini tersangat-sangat halus bahasanya. Sering dibahasakan, namun anak-anaknya tetap sahaja pada pendirian,

"Tidak bersedia lagi ummi"

Begitu juga Allah yang menciptakan, masakan diciptakan manusia dengan sia-sia? Pasti agar manusia itu memakmurkan bumi kerana manusia itukan khalifah. Masakan kamu lupa?

Ayuh.

Bangunlah wahai sahabat.

Bagaimana Mus'ab hanya berbekalkan tiga surah akhir dari nabi mampu mengislamkan satu madinah? Kita sudah ada satu kitab terus. Namun beralasan, belum cukup sedia? Masakan bisa?

Selangkah kita bergelar murobbi, kita akan lebih bersedia. Percayalah. Bukan untuk siapa, tetapi untuk diri kita juga. Satu lonjakan paradikma dalam diri. Perubahan 180 darjah dalam diri. Manisnya nikmat bergelar murobbi adalah setelah melihat anaknya itu mampu berjalan dengan kaki sendiri. Bukan menagih cinta disuap kasih sayang sampai ketua. Mus'ab itu, berjauhan dengan nabi, mampu berdikari. Kesannya? Madinah Negara islam pertama.

Bersedia? Saya sehingga sekarang masih belum bersedia. Namun, banyak belajar dari kesilapan. Maka, jangan menangis jika kita masih belum jumpa murobbi, kerana ramai mutarobbi yang mampu mandiri tidak mahu berjalan sendiri kerana berkata tidak 'ready'.

Sahabat, kita kekurangan murobbi. Siapa murobbi itu?

ANDA!

Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudia mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik"  -  Al-Quran [57:16]


p/s: Penulisan yang mempunyai kematangan luar biasa daripada posting yang sebelumnya. Maaf jika anda termuntah membaca entry saya kali ini terutama yang telah mengenal jeliknya diri ini.


0125H 9th0615_JDT
 

Berenang Ketepian

Alhamdulillah,

Diberi rezeki dari Allah melalui hambanya yang berkongsikan rezeki yang diterima juga dari Allah. Penerima Biasiswa JPA untuk sesi kali ini, berkongsi untuk membuat sedikit jamuan ringan yang dikira meriah dari kaca mata saya. Semoga Allah mudahkan urusan kalian dan menempatkan kalian dalam rahmatNya hendaknya.

Maka terdetik, untungnya sekiranya saya adalah salah seorang daripada penerima biasiswa tersebut. Maka boleh saya belanja untuk dakwah. Hah~ mudah hanya pada kata. Tetapi sekiranya saya antaranya, susah untuk saya belanjakan ia untuk islam itu sendiri. 

Hikmah terbesar, Syukur! Bukan saya penerima biasiswa itu. Ya, mempunyai wang yang besar, dan tanpa perlu bersusah payah memikirkan hutang yang terbeban setelah selesai belajar. Dengan keadaan bakal membelanjakan sesuatu yang besar yang bukan untuk diri sendiri. Kadang bila difikir, tega nya saya menginfakkan dan membelanjakan wang hutang itu untuk islam itu sendiri. Walhal ia adalah hutang!

Hidup dalam kalangan golongan bijak dan pandai, terasa ya. Saya jauh lebih kecil dan kerdil dari mereka. Maka saya berenang ketepian. Bagi mereka ya, itu mudah. Tetapi bagi saya itu payah. Tidak adil ya manusia ini memberi keadilan. Yang pandai ini dilambung-lambung, dijulang-julang. Diberi kemudahan itu, diberi perbelanjaan kewangan dan pelbagai kemudahan lain. Kerja mudah. Tidak adil ya manusia hanya memberi kepada mereka yang pintar walhal mereka yang kurang pintar ini terpaksa bertungkus lumus mencari perbelanjaan sampingan tanpa mahu menyusahkan ibu ayah mereka. Bersusah payah untuk faham, dan bersusah payah untuk mencari perbelanjaan tambahan. Wal hal yang bijak pandai itu, mudah. Hampir RM40k hutang ketika berusia 22 tahun. Itu amat dahsyat! Walhal orang lain tiada apa-apa hutang yang perlu difikirkan. Maka, pekerjaan saya nantinya hanyalah untuk membayar hutang-hutang itu. Jika kerja. Jika tidak?

Golongan yang bijak tetap akan kata, 'mudah sahaja', hanya perlu itu dan ini. Tapi bagi golongan kelas kedua ini payah. Amat payah. 

Tetapi Allah itu Maha Adil, rahmatnya kepada semua. Pasti, Allah itu ingin memberi sesuatu yang jauh lebih besar dari segala kenikmatan yang dikira sebagai segalanya ini. Dan yang pasti, setiap orang ada mujahadah mereka. 

Moga Allah kira setiap mujahadah hamba-hambanya.

*Luah kuah bukan ke nasi. Akhirnya tumpah takungan dari benak lahirnlah titisan jernih mengenang beratnya bebanan ini.

 

Lets Join Us