POLITIK BUDAK USRAH

Hakikat bila mana kita menyatakan kita adalah dalam kalangan orang yang menyertai usrah ini sangat dipandang jijik oleh masyarakat. Bukan semua namun kebanyakannya. Terutama bagi mereka yang tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh geng-geng usrah ini. Mereka melihat budak-budak ini berkumpul, pegang buku, pen, tiba-tiba gelak, tiba-tiba diam, tiba-tiba yang bercakap itu mengalirkan air mata, makanan banyak depan mata, sambil mendengar sambil mengunyah, dan ada juga yang sudah ke langit ke tujuh dan penuh khusyuk dan tawaduk duduk dalam bulatan tersebut. Ada hamba Allah yang dari jauh sambil memeras minyak motor dan menyindir halus dengan membacakan al-fatihah dan tak kurang ada juga yang hanya baca bismillah dengan tarannum yang sangat menyindirkan! Ummat semakin tenat!
Budak usrah ini tidak sesibuk kakak dan mak naqibah, tidak serisau mana. Hanya perlu menarik sebanyak ilmu yang dicurahkan oleh para naqibah semasa usrah juga daurah. Hanya perlu maintain dan up iman yang sentiasa yazid wa yanqus. Bila mana naik pada takuk menjadi naqibah, skop pemikiran dan beban semakin berat. Sedang saya masih di takuk mad'u. Namun, berdasarkan kepada cerita pengalaman para-para sakura ini, dapat digambarkan betapa hebatnya kerja dakwah mereka. Memikirkan untuk menjaga iman adik-adik dan anak-anak usrah mereka, sentiasa awasi mereka agar tidak futur, sentiasa menjadi telinga kepada segala masalah walhal mereka juga perlu menjaga iman dan beban masalah sendiri. Ya Allah, kuatkan hati para murabbi kami dan juga hati-hati kami dalam jalan yang telah engkau pilih kami untuk lintasi. Hakikat yang kalian (masyarakat diluar sana) perlu sedar, kami ini sentiasa gembira memilih jalan ini walau hakikatnya keperitan dan kesukaran menghadapi jalan yang penuh berliku.
Kami gembira kerana iman kami sentiasa terpelihara. Bila mana iman kami menurun atau futur, kami segera mencari ubat sama ada rujuk pada murabbi kami atau akhwat kami. Ya, kami gembira dan bersenang hati. Namun, Islam ini bukan untuk budak-budak usrah sahaja, Al-Quran yang kami bawa kemana-mana ini bukan untuk rujukan budak-budak usrah sahaja. Ayat-ayat Allah yang dihurai panjang ini bukan hanya untuk budak-budak usrah sahaja. Iman ini bukan untuk budak-budak usrah sahaja. Usrah ini bukan untuk budak-budak usrah sahaja. Ini untuk semua ummat yang darahnya mengalir syahadah dalam dirinya sejak lahir.
Kami bersenang hati berada dalam jalan ini, namun kami tetap menangisi melihat ummat yang semakin tenat. Islam ini untuk kita, bukan untuk budak-budak usrah sahaja. Jika kalian merasai apa yang kami rasai, kalian tidak mungkin akan pergi membuang masa dengan menonton running man, tidak akan ada masa untuk bermain bowling, tidak ada masa untuk berfacebook 24jam, tidak akan ada masa untuk sembang-sembang bola, tidak ada masa untuk baca dan reply message di wattsupp, tidak ada masa untuk bermain game di smartphone anda. Tidak akan ada masa untuk merokok, tiada masa untuk menonton wayang, tiada masa untuk makan, dan tidur lena! Ini hakikat jika kalian faham dan rasa apa yang kami rasa. Rehat kami hanya disyurga! Namun kami ini juga manusia biasa, kadang khilaf dan memerlukan rehat untuk menarik helaan nafas agar kami mampu untuk berlari pantas.
Politik budak usrah? Apakah. Hanya mereka yang menyertai usrah sahaja akan merasai bermain politik dengan masyarakat. Kadang-kadang perlu jujur, kadang-kadang perlu berhelah. Namun, saya lebih suka berhelah berbanding jujur. Bila orang tanya mahu pergi mana, saya jawab pergi dating. Kadang-kadang masyarakat tidak faham, kenapa dan mengapa perlu meeting setiap minggu, kenapa perlu berdating setiap minggu. Bila mana meeting dan discussion ada clash, maka kita perlu memilih
meeting bersama akhwat. Namun, bagaimana harus diterangkan kepada kawan-kawan discussion mengenai hal sedemikian. Jika kita sering sahaja menolak deal dengan kawan-kawan discussion, ia akan menjadi fitnah kerana lebihkan akhirat berbanding dunia. Maka muncullah kenyataan dunia dan akhirat perlu seimbang! Namun orang yang berkata perkara tersebut hanya beratkan dunia sahaja. Mereka tidak faham. Allahu. Budak usrah ini jika mereka faham, mereka akan teguh memilih usrah berbanding perjumpaan grup, persatuan dan sebagainya yang mana lebih terjerumus pada hal duniawi.
Berhelah untuk tetap memilih jumpa geng usrah agak mudah jika bersama kawan-kawan. Namun dengan keluarga? Budak usrah perlu lagi berpolitik dengan keluarga mereka terutama para ibu bapa yang dicintai dan disayangi olehnya dan Allah. Untuk berusrah tiada masalah. Namun, jika ada apa-apa program seperti daurah, jaulah, dan mukhayyam, bagaimana pula mahu berpolitik dengan para abi dan ummi. Bila mana orang lain sudah pulang kekampung halaman, namun anak-anak mereka tidak pulang-pulang, mereka sudah mula risau. Itu jika anak-anak tidak memberi tahu kemana hala tujunya. Anak itu silap! Namun bila mana anak-anak mereka memberi tahu mereka akan pulang lewat sedikit beberapa hari daripada sepatutnya, abi dan ummi akan bertanya panjang dan sangat tersangat panjang. Ada program apa, program under apa, dengan siapa, dekat mana, buat apa, dan pelbagai lagi soalan. Berdasarkan kepada persoalan tersebut sudah jelas, para abi dan ummi ada kerisauan terhadap aktiviti anak-anaknnya. Terutama bila balik rumah sekali sekala sahaja sudah mula pakai stokin, kemudian balik seterusnya sudah pakai handsock, kemudian sudah mula pakai tudung bidang 50, kemudian sudah mula pakai kain, kemudian sudah mula pakai tudung 60. Dan kemudian kemudiannya anaknya bergaya seperti ustazah lepasan ijazah dari mesir yang mengambil bidang agama. Namun hakikatnya anaknya itu mengambil bidang kejuruteraan awam, perubatan, ukur tanah, bukan bidang agama! Semakin risau para abi dan ummi jika anaknya pakai jubah, tudung bulat dan purdah. Ah sudah, anak-anak ummi ni join syiah atau arkam ke? Maka, semakin risau la para abi dan ummi terhadap anak-anak mereka yang secara cepat berubah penampilannya. Maka rajin lah abi ummi ini bertanya kepada anak-anaknya segala macam persoalan yang fokus tertumpu pada aktiviti apa yang anak-anak mereka turut serta.
Kerisauan abi dan ummi terhadap aktiviti anak-anak mereka bila mana mencari jalan pulang menuju agama amat dirisaukan oleh mereka. Almaklumlah, pada zaman dan saat ini sering degembar-gemburkan dengan pelbagai ajaran sesat dan menyimpang. Mereka risau anak-anak mereka ini tersalah pilih jalan dengan menyertai gerakan yang pelik-pelik. Bila mana anak mereka pulang kerumah dengan gaya pakaian terbaru, dan anak-anak mereka lebih berpantang. Pantang sahaja ingin bertudung setiap masa, pantang sahaja, tidak mahu bersalam dengan saudara mara. Pantang sahaja sudah lebih banyak diam dari berbicara. Sering sahaja membeli buku agama. Bajunya dirumah sudah tidak seperti biasa, sentiasa berlengan panjang, bukan macam kebiasaannya. Duduk diam-diam dalam bilik tanpa berkata apa. Sering tidur tengah hari bukan seperti sebelumnya. Sudah tidak reti menghadap tv. Awal tidurnya dan awal pula bangunnya. Seperti ada yang tidak kena pada anak-anak abi wa ummi ini.
Kerisauan abi ummi terhadap apa yang anaknya buat sepanjang ketidak tahuan mereka lebih dirisaukan dari ketahuan mereka. Biasalah itu adalah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak mereka. Namun bila mana anak-anak mereka berkata mahu ikut program agama, bermalam di sekian-sekian tempat, para abi dan ummi lebih risau. Dibandingkan dengan anak-anak mereka yang berkata mahu hang out bersama kawan-kawan, mahu berkaraoke, mahu mandi manda, main bowling, dating dan sebagainya. Para abi ummi ini tiada halangan dan persoalan lanjut mengenainya. Hanya berpesan, balik sebelum maghrib. Namun, sebaliknya kepada anak-anak mereka yang ingin mendalami ilmu agama. Jika budak-budak usrah ini salah bermain politik kepada ibu bapa mereka, langsung sahaja abi ummi mereka tidak benarkan untuk turut serta dengan segala program seperti daurah dan jaulah pada masa akan datang. Risau kerana tidak tahu gerakan apa buat apa dan sebagainya. Tambahan pula bila anak-anak mereka memberi tahu kepada abi umi mereka yang mereka bermalam di rumah atau masjid dan bukan di mana-mana universiti, kolej, hotel, chalet, tapak perkhemahan dan sebagainya.
Perkara yang menjadi masalah kepada budak usrah yang bukan dalam kalangan keluarga 'islamic' ini adalah bila mana abi ummi mereka tidak faham apa yang anak-anak mereka sedang lakukan. Ada yang terus menghalang anak-anak mereka daripada turut serta dalam usrah dan aktiviti berkaitan dengan itu. Mungkin anak-anak ini salah memberi penerangan dan mungkin terlalu menekan kepada abi ummi mereka syahadatul haq. Al maklum lah baru dapat ISK dan SH, maka semangat berkobar-kobar untuk berdakwah kepada abi ummi mereka kerana ingin menyelamatkan abi umi kesayangan mereka kembali ke jalan sebenar.
Inilah delema budak usrah. Mungkin delema mereka berpolitik hanya kepada kawan-kawan, ada juga kepada keluarga. Dan hakikat yang paling berat bila mana keluarga lebih risau anak-anak mereka mencari jalan pulang mendekati tuhan berbanding anak-anak yang keluar tanpa reti nak pulang-pulang walau dah lewat malam.
Wahai budak usrah sekalian, permulaan melangkah biar perlahan, dakwah secara senyap. Kemudian derapkan langkah kepada lebih pantas jika sudah ada kekuatan. Mungkin mehnah kita sebagai budak usrah berbeza. Ada mendapat kekangan dari kawan yang tidak paham, ada yang mendapat keluarga yang terlebih mengambil berat terhadap anak-anak mereka dan mungkin ada yang tiada halangan daripada sesiapa, namun diri sendiri yang menjadi penghalang untuk pergi usrah, daurah dan sebagainya. Perasaan malas, dan banyak alasan kerja adalah diri sendiri yang menjadi penghalang. Jika kita lemah dan malas, ingatlah mereka yang diluar sana terutama mesir dan sekelilingnya, mana sempat mereka berbulatan riang gembira dengan angin sepoi-sepoi bahasa, burung berkicau memecah kesunyian pagi dan senja, makan tepi tasik dan sebagainya. Kadang-kadang para naqibah mengumpan dengan domino, kepci dan sebagainya. Namun saudara seaqidah dengan kita, berusrah sambil memegang senjata, bunyi derupan M16, mortar, GPMG memecah kesunyian yang tak pernah sunyi. Hidangan mereka hanya zikir sebagai alas perut. Maka alasan apa lagi yang boleh kita beri kepada Allah mengapa tidak membina iman disaat kalian Aku beri masa untuk melaksanakannya.
Budak Usrah,
Kita gembira berada dalam bulatan gembira,
Iman terpelihara dan terjaga,
Namun pandanglah pada kelilingmu,
Lihat dihujung sana,
Mereka berjalan tanpa arah tuju,
Mereka berlari tanpa garisan tamat,
Mereka berjalan-jalan tanpa dapat melihat kebesaran Allah,
Mereka bekerja tanpa matlamat,
Mereka berkejar-kejar pada alat,
Namun kita, buka mata sudah dapat meresapi zat Allah mengalir dalam diri.
Budak usrah,
Kita bercita-cita ingin mencapai syurga,
Kita bercita-cita ingin bertemu Allah,
Kita bercita-cita akan berpimpin tangan bersama-sama menuju syurga,
Kita terbayang gelagat para akhwat melihat pintu gerbang syurga dibuka,
Kita tergelak dan senyum-senyum,
menggambarkan setiap akhawat dikala ingin masuk syurga melalui tabiatnya ketika didunia,
Kita terbayang yang salah seorang kita tergamam melihat pintu syurga sehingga ribuan tahun lamanya,
Kita bergurau menyatakan bahawa malaikat 'bengang' dengan akhwat tersebut kerana sudah beribu tahun hanya dipintu syurga
Tidak masuk-masuk walhal kita sudah bergembira main anak kucing di syurga yang comel-comel.
Dan malaikat tersebut bertanya kapada akhwat tersebut,
"Wahai ahli syurga, ana nak tutup pintu ni, sampai bila mahu disini?"
Ya, kita senyum, kita gembira memikirkan hal itu.
Namun bagaimana dengan sahabat dan keluarga kita?
Apa nasib mereka?
Kita belum tentu menjadi ahli syurga jika mereka juga bukan ahli syurga.
Kerana apa?
Disaat perhitungan,
Sedarkah kalian, masing-masing mencari pahala
Maka mereka akan saling menuntut,
Mengapa didunia dahulu kita tidak mengajak mereka bersama-sama mereka.
Masihkah kalian bergembira disyurga namun keluarga kalian masih kalian tidak dapat jumpa didalamnya.
Budak usrah,
Tetap teguhlah berada dalam jalan ini,
Keperitan itu akan dirasai,
Mungkin selalu, mungkin jarang-jarang dan munkin tiada.
Mereka tidak faham yang kita sedang membina iman,
Mereka terlalu selesa hidup tanpa arah tujuan,
Maka kita perlu bekerja lebih untuk menyelamatkan mereka.
Walau kita dikecam hebat,
Lidah mereka menentang kuat,
Kata-kata lembut mereka yang sangat kesatkan semangat kita
Untuk terus berada di jalan ini.
Kadang kawan baik yang ingin kita luahkan rasa,
Turut tidak faham dengan apa yang kita lakukan,
Kadang mereka semakin menjauh bila kita mendekati mereka.
Sabar! Sabar! Sabar!
Syurga diberi bukan kepada mereka yang berputus asa!
Hakikat diri letih menghadapi ragam manusia,
Yang sentiasa menghukum pada kebenaran yang ditegakkan,
Kerana mereka melihat kemungkaran itu kebiasaan,
Jika kita letih dan lemah,
Kasihan nabi kita,
Baginda berdakwah sampai berdarah,
Kita hanya kalah pada hal yang mudah,
Jika ini adalah kita,
Jangan salahkan baginda jika baginda tidak melihat wajah kita,
di saat kita inginkan syafaat baginda.
Kuatlah akhwat sekalian,
Jika kita bantu Allah, Allah akan bantu kita.
Siapa lagi tempat sebaik-baik meminta pertolongan?
Islam itu akan kembali terasing,
Maka beruntunglah orang yang terasing itu.
Ini kata pemujuk dari rasul kesayangan kita.
Kita adalah orang-orang yang beruntung.
Kenapa jalan ini pahit dan beronak?
Kerana syurga itu hanya untuk orang yang kuat kerjanya didunia untuk akhiratnya!
Universiti_Tarbiyah_Manusia | Jihad_Dakwah_Tarbiyah | 2019H_15Syaaban1435H_14Jun2014

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel POLITIK BUDAK USRAH Dicoret oleh NH pada hari Sabtu, 14 Jun 2014. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting POLITIK BUDAK USRAH
 

Lets Join Us