Dimana letaknya keikhlasan aku jika itu yang dia perlakukan kepadaku. Apa persepsi dia terhadap aku? Apakah aku ini mudah ditindas? Apakah aku ini terlalu kaya? Apakah aku ini kelihatan terlalu pemurah? Terlalu tidak berkira? Sentiasa menerima dan tidak cerewet? Apakah juga dia melihat aku sebagai seorang yang penakut? Mungkin ya dan mungkin juga sebaliknya. Apakah dia melihat bahawa aku ini tidak mempunyai akal untuk berfikir tentang orang lain? Mungkin juga dia berfikir bahawa aku ini tidak mempunyai perasaan sama ada marah, benci, sayang dan suka? Apa pandangan dia terhadap aku?
Apa yang bermain difikiran aku sekarang ini adalah, mengapa Allah adakan dia dalam hidup aku dan hidup mereka yang lain? Mengapa Allah wujudkan orang seperti dia didunia ini? Bak kata orang, “Tak reti berbahasa”. Mesti siapa yang membaca tidak akan faham situasi sebenar apa yang berlaku sebenarnya. Ya, tidak perlu diceritakan disebalik keaiban orang. Cuma ingin sampaikan persoalan dan pengajaran. Apa yang aku cari adalah jawapan. Dimana letaknya jawapan disebalik setiap ungkapan persoalan yang aku ajukan.
Tidak reti berbahasa maksudnya? Dalam situasi:
A: Aku dan dia menaiki teksi sama-sama dan tiba di destinasi, aku dahulukan duit aku pada waktu itu, aku juga tidak ada cukup duit untuk minggu itu sebelum duit pinjaman aku masuk dalam akaun.
B: Dia tempah makanan dan aku dahulukan duit aku dahulu.
C: Makan sama-sama dan aku dahulukan duit aku kerana aku ingin pecahkan duit RM50 aku yang baru keluarkan dari mesin ATM.
D: Aku dahulukan duit aku dahulu kerana dia tiada duit pecah.
E: Dia tempah makanan dan aku dahulukan duit aku.
F: Dia kata nak belanja. Setelah makanan siap, dia seolah-olah buat tak nampak makanan tu dah siap dan aku pergi ambil makanan tersebut dan dahulukan duit aku.
Sepanjang situasi A hingga F itu aku dahulukan duit aku dan dia tanpa ada sebarang pertanyaan berapa nilai makanan yang dia tempah itu. Memakan dan terus biarkan ia berlalu. Kata orang, buat-buat tak tahu dan buat-buat tak ambil tahu. Buat-buat lupa dan terus saja lupakan hutangnya itu kepada aku. Mungkin juga dia fikir yang aku ini ingin belanja dia? Jika ragu-ragu, mengapa tidak tanya? Keraguan itu mainan syaitan, mengapa diturutkan? Itulah peliknya dia, langsung tidak bertanya berapa harus dibayar. Diam dan terus menyepi. Ada juga orang seperti ini didunia ni ya?
Aku cukup suka pada orang seperti ini. Aku menguji peribadi dia. Dalam situasi diatas, banyak yang aku dahulukan duit aku. Sebenarnya aku ingin melihat dia ini, apakah benar buat-buat lupa pada hutangnya ataupun sebaliknya. Rupa-rupanya memang benar, dia buat-buat lupa hutangnya kerana dengan orang lain, dengan pantasnya dia membayar hutang pada orang lain jika dia menempah dan sebagainya.
Orang seperti ini akan merosakkan nilai keihklasan seseorang. Mengapa? Bagi aku, jika seseorang itu ikhlas membantu seseorang tiba-tiba orang yang dibantu melakukan yang tidak sepatutnya. Apa yang diharap tidak kesampaian. Jika sering sahaja melakukan perkara yang sama, seseorang itu akan hilang keihklasan dan akan timbul keraguan untuk membantu disaat dia benar-benar memerlukan bantuan. Bukan sahaja pada orang yang yang sama, tetapi juga pada orang lain. Ingin membantu dengan ikhlas tetapi apabila teringat pada kisah dia dahulu yang kawannya tidak bayar hutangnya kerana buat-buat lupa (mempergunakan kebaikan orang lain/ambil kesempatan), keikhlasan itu hilang. Kesannya bukan sahaja pada diri dia dan kawan yang ambil kesempatan itu tetapi juga memberi kesan kepada orang lain. Dek kerana takut diperlakukan perkara yang sama dahulu.
Orang yang baik selalu dipergunakan. Orang yang pendiam selalu ditindas. Statment itu bukan membuktikan keangkuhan mahupun mengangkat tangan mengaku bahawa aku ini orang yang baik dan pendiam. Sememangnya aku ini seorang yang sangat kedekut, sombong, jahat dan juga suka berpura-pura. Aku bukan malaikat yang sentiasa taat pada perintah Allah. Aku juga bukan seorang nabi untuk diagkatkan darjat disisi Allah. Aku hanya manusia biasa yang cuba untuk mengikut jejak langkah nabi-nabi aku terdahulu dan cuba sebatikan cara hidup Islam dalam diri aku. Kadang-kadang aku baik dan kadang-kadang aku jahat. Sama seperti iman, ’jam’ ini naik, dan ’jam’ itu turun. Tidak sistematik. Itu diperakui ramai orang.
Apa yang aku cuba sampaikan, aku selalu ditindas. Aku diam, orang ambil kaki dan naikkan dikepala aku. Aku baik, orang ambil kebaikan itu untuk kepentigan diri sendiri. Aku banyak kali ditegur, bertegas! Bertegas! Bertegas! Ada sedikit perubahan dimana dalam setiap apa yang aku tetapkan, aku akur dan aku tegas pada tetapan itu. Sebelum ini, aku berubah-ubah fikiran. Aku tidak berani untuk ‘out spoken’ dengan baik. Itu aku akui. Jika aku tidak puas hati, aku diam dan terus diam. Kerana bagi aku itu lebih baik kerana tidak menyakiti orang lain. Biar aku sakit, jangan orang lain sakit sebab aku. Jika aku bersuara, aku akan menangis sedih kerana sebak menahan kesakitan berkurun lama aku peram dikeluarkan. Aku menangis sehingga hanya air mata itu yang menyampaikan ketidak puasan hati aku pada sesuatu kerana mulut tertutup rapat untuk terus berbicara.
Persoalannya, bukan berkira pada sesuatu yang mungkin remeh ini. Tetapi, dimana dia letakkan dirinya sebagai seorang yang tidak zalimi diri sendiri. Jika terus-terusan memakan sesuatu yang tidak pasti halal haramnya, dirinya juga yang akan disakiti kelak. Aku yang ingin ikhlaskan perbuatan dia terhadap aku jadi ragu-ragu, apakah dia akan melakukannya lagi kepada aku. Aku pernah ikhlaskan apa yang dia buat kepada aku itu, dan balasannya, dia lakukan lagi. Salahkah aku ikhlas dan inikah balasannya bagi orang yang ikhlas. Mentang-mentang aku tidak bersuara melunakkan ketidakpuasan hati dan tidak menuntut hak aku balik. Dia fikir aku mampu ikhlaskannya? Ikhlas itu akan ada, tetapi mengambil masa yang lama. Jika aku sempat ikhlaskan itu, dia selamat, jika tidak sempat aku ikhlaskan itu, nantilah diakhirat. [ikhlas dalam statment ini ialah halal]
Aku membenci pada sesuatu yang tak pasti. Aku juga membenci pada sesuatu yang membuatkan orang itu tidak pasti. Aku cuba lakukan yang terbaik agar apa yang mereka lakukan kepada aku, aku ikhlaskan/maafkan/halalkan. Bagi aku, kesenangan akan datang jika kita ikhlaskan sesuatu dan kesannya, hidup tidak akan keluh kesah, tidak marah-marah, tidak kedekut dan menerima seadanya. Tetapi, jika orang seperti ini melakukan hal yang sama kepada aku, aku hilang keikhlasan kepadanya dan mungkin mengakibatkan kepada orang lain. Perlukah ada dia dalam hidup aku. Mengapa ada dia dalam hidup aku.
Dalam ruangan “Beduk diketuk” majalah Solusi edisi 19 (Hikmah Musibah) yang bertajuk “ Orang Ikhlas Ditindas?”. Ya, dalam kisah itu, orang yang ikhlas bekerja tanpa mengharapkan pujian dan ampuan, tidak mendapat sebarang pujian. Tetapi, orang yang sering mengampu dinaikkan pangkat. Persoalan beliau, apakah orang yang ikhlas ini ditindas? Kebanyakan manusia akan memandang orang yang ikhlas bekerja ini tidak berkira pada apa yang bakal diterima dan sebagainya. Oleh kerana itu, orang ikhlas ini kelihatan sering dipergunakan, tidak dihiraukan dan sebagainya. Kadang-kadang, kita membantu dan orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih pada kita, malah buat muka pada kita. Kita membantu dan dikata kepada kita, cari publisiti untuk dipuji baik. Oh, ini rupanya balasan bagi orang yang ikhlas? Jadi, tidak perlulah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas kerana tidak mendatangkan manfaat pada kita malah dituduh tunjuk baik.
Persoalan yang sebelum ini aku persoalkan terjawab sendiri olehku setelah aku terbaca artikel tersebut. Benar, kebanyakan orang yang ikhlas itu tertindas. Namun sejauh mana Allah membiarkan orang seperti itu terus ditindas? Sudah tentu didunia lagi Allah membalas kebaikannya itu. Namun bukan dalam bentuk yang sama apa yang dilakukan. Mungkin diberikan dalam bentuk sesuatu yang lebih baik. Kadang-kadang, kita menanti apa balasan atas segala perbuatan yang kita lakukan. Apakah itu benar-benar ikhlas? Ikhlas atas pemahamanku, melakukan sesuatu perkara tanpa mengharapkan apa-apa balasan kecuali lillahita’ala (semata-mata kerana Allah).
***
Setelah berminggu-minggu situasi tersebut berlaku, akhirnya apa dia lakukan terhadap aku terbalas. Namun, apakah benar perbuatan yang dia lakukan itu dibalas dengan perkara sedemikian? Hanya Allah yang maha mengetahui. Dia hilang sabar dan terus memarahi dan membenci insan yang melakukan perkara tersebut kepada dia itu. Kami ini cuba untuk dia ambil positif atas setiap apa yang berlaku, namun dia berkata “Bukan sekarang masa untuk bagi ceramah”. Wah, benar-benar hilang sabar ni. Benar, jika seseorang dalam marah, jangan diusik dan suhu kemarahan masih meluap-luap. Tapi, setelah selang sehari kejadian tersebut, dia masih lagi membenci dan marah pada perkara tersebut sehingga meninggalkan solat fardu kerana memikirkan kejadian tersebut? Kita hamba pada allah dan bukan hamba pada masalah. Jika masalah datang, pada tempat mana kita mengadu? Mestilah pada pencipta segala kejadian kerana dia Maha Mengetahui. Jika semakin ditinggalkan Pencipta itu, maka datanglah satu lagi hamba pencipta menghasut dan memberi petunjuk jalan yang lintang pukang arahnya sedangkan jalan penyelesaian yang Allah beri itu lebih mudah dan indah.
Kesimpulannya, hiduplah berlandaskan syariat Islam :) Ingatlah apa yang kita lakukan kita terima balik. Ikhlaskan setiap apa yang berlaku, ambil yang keruh, buang yang jernih. Insyaallah
Yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dalam diri ini sendiri. Wassalam~