Siapa Kita?



Gambar Hiasan : Jaulah Melaka

Saya terpangggil untuk menulis tentang sesuatu yang mungkin bertentangan dengan tanggapan kalian (masyarakat) selama ini mengenai mereka yang telah meletakkan sepenuh jiwa dan raga dalam gerakan dakwah dan tarbiyah ini. Mungkin ada juga yang baru setahun jagung mengikuti gerakan DnT ini dan ada juga yang telah berpuluh tahun bersama-sama dalam gerabak ini. 
 
Semasa ‘conference’ riang sebelum ini yang membentangkan tentang Syahadatul Haq, saya terpanggil untuk menekankan beberapa pandangan dan harapan kepada golongan yang termasuk dalam kandang tarbiyah ini. Bersuara dalam keadaan orang yang ramai dan mereka bakal meneliti bait-bait setiap apa yang bakal saya katakan itu bukanlah menjadi kesukaan saya dan saya bukanlah orang yang suka bersuara dalam keramaian dalam memberi pendapat dan kritikan. Tetapi atas beberapa sebab yang mana saya berasa bertanggungjawab untuk menyuarakan pendapat adalah bila mana dalam ucapan syahadah itu sendiri telah mengikat setiap mereka yang mengucapkan kalimah tersebut untuk saling menyampaikan kalimah itu ke sekalian alam. Ya, ke sekalian alam. Ini termasuklah menyatakan yang hak tentang Islam kepada orang lain agar mereka kembali menjadikan islam itu sebagai cara hidup. Meletakkan segala apa yang dilaksanakan itu kembali kepada Allah.

Diminta untuk mengajukan soalan mengenai, 

Bagaimana boleh terjadi, mereka yang telah bergerak dalam gerabak tarbiyah ini masih lagi memegang status couple bersama yang bukan mahram dan memegang kepada prinsip ‘couple islamic’ kerana yang perempuan itu akhwat dan yang lelaki itu adalah ikhwah yang mana masing-masing mempunyai bulatan gembira dan mereka juga bukan mad’u malah mereka itu adalah da’e, murabbi kepada adik-adik bulatan gembira mereka.  Bagaimana perkara sedemikian boleh terjadi?” 

Itu soalan saya kepada akak-akak naqibah yang memberi pengisian mengenai syahadatul haq. Dan jawapan mereka ialah, itu terjadi berdasarkan kepada individu itu sendiri yang mana mereka tahu dan mereka faham, tetapi mereka tidak dapat melawan hasutan syaitan yang mana masih terikut pada kehendak nafsu yang inginkan kasih sayang berlainan jantina tanpa ada apa-apa ikatan hubungan yang menghalalkan. Dan couple Islamic itu tetap haram jika mereka masih belum sah dinikahi. Couple Islamic itu tetap haram kerana ia masih juga mampu meruntuhkan ikhtilat yang seharusnya diperkukuhkan melalui iman hasil binaan tarbiyah. Itu dikira masalah peribadi insan tersebut. Jawapan yang panjang dan hanya itu yang saya ingat.

Selang beberapa soalan yang akhwat lain mengajukan soalan, dan naqibah memberi peluang terakhir kepada sesiapa yang ingin bertanyakan soalan. Saya terpanggil sekali lagi untuk memberi huraian jawapan kepada persoalan yang sebelum ini saya ajukan. Huraian yang agak panjang namun penyampaiannya agak tidak tersusun.

Berkenaan mereka yang bercouple dan mereka juga merupakan ahli dalam gerabak tarbiyah ini sememangnya mereka masih belum betul-betul faham tentang matlamat hidup sebenar dia. Mungkin faham. Pada suatu masa dahulu, ketika dia ini mendapat ISK dalam daurah, mereka sedar dan mereka faham. Hasil tidak menjaga iman, kesedaran tentang matlamat sebenar hidupnya itu ditarik sedikit-demi sedikit oleh Allah SWT kerana apa? Setiap maksiat dan dosa yang kita lakukan itu, akan muncul satu titik hitam dalam hati yang mana setiap kali melakukan dosa, titik itu akan bertambah dan mampu membutakan mata setiap akhawat dan ikhwah itu sendiri dari membezakan yang mana boleh dan mana dilarang. Sehingga mereka yang dahulu melakukan dosa kecil akan menggigil takut pada dosa, namun saban hari, perasaan itu ditarik dan kini dirasakan maksiat itu lebih lazat dari berkat itu sendiri. Kebergantungan pada cinta manusia itu diletakkan kepada matlamat sehingga lupa bahawa matlamat itu adalah Allah itu sendiri. Bila mana mereka tersungkur dalam percintaan sesama manusia bukan mahram, mereka menjadikan Allah sebagai alat. Mulalah berdoa agar insan yang dicintai itu kembali kepadanya, ingat pada dia, tidak melihat perempuan / lelaki lain. Alat kepada matlamat yang sudah terbalik! Mendoakan kepada sesuatu yang dilarang oleh Allah samalah seperti meminta kepada bos untuk tidur masa kerja, beri gaji buta, meminta kepada pensyarah untuk tidak mahu masuk kelas dan meniru dalam ujian. Bait-bait doa yang ditulis di laman muka buku, berkicau, bermoment yang berbunyi ala-ala sadis.

Ya Allah, walaupun dia sudah semakin menjauhi aku. Aku berharap kau peliharalah hati dia untuk tetap mencintai aku, untuk tidak melihat wanita lain. Ikatlah hati dia agar dia tidak terikat pada perempuan lain. Walau jauh, peliharalah dia untukku kerana aku sungguh mencintai dia. Jagalah kesihatan dia kerana aku risau bila mana dia sakit, aku tidak mampu mengubatinya dan hanya kepada engau aku bergantung harap

Doa yang sebaiknya adalah doa kepada yang halal, bukan doa yang macam halal tetapi meminta sesuatu yang Allah larang! Bait-bait doa yang bunyinya indah, tetapi memusnahkan iman. Lebih baik doanya itu kepada ibu bapa, keluarga dan saudara seislam yang lain. Buang masa meminta pada sesuatu yang Allah tak suka. Berani benar meminta perkara seperti itu kepada Allah.

Mereka ini ditarbiyah, tetapi pemahaman masih kabur dan karat jahiliyah itu masih tersisa. Ketahuilah bahawa mereka yang bercouple Islamic (konon) ini lebih jahil daripada masyarakat arab jahiliyah dahulu.

Wahai bakal bidadari syurga. Saya bukanlah orang yang baik dalam berbicara, sopan dalam perilaku, mulia akhlaknya. Saya bukan itu. Saya sedang cuba kearah itu. Saya juga tahu, kalian turut berusaha kearah itu. Saya masih lagi memakai jeans, masih memakai tudung bawal, masih berbaju biasa. Saya bukan pemakai jubah tegar dan bukan bertudung bulat dalam erti kata lain ‘khemah’ dan bukan juga pemakai purdah. Saya insan biasa yang jahil lagi lemah.

Wahai bakal bidadari syurga, tahukah kalian bahawa melalui pakaian kalian yang bertudung 60 dan bulat itu, memakai cantik handsock di tangan, bersarung tangan, berstokin hitam, coklat dan belang-belang, berpurdah pelbagai warna mengikut kesesuaian tudung dan tidak kurang juga hitam sahaja. Berjubah labuh dan berskirt labuh. Tahukah kalian bahawa masyarakat akan melihat kalian ini terlalu sempurna. Melihat kalian sebagai terlalui baik, terlalu pandai agamanya, tidak kurang digelar ustazah. Masyarakat luar melihat kalian umpama malaikat yang tiada dosa dan tidak akan melakukan dosa. Hanya beribadah kepada Allah semata-mata dan tiada istilah dunia dalam  diri kalian. Tahukah kalian, masyarakat melihat itu dalam diri kalian. Bila mana kalian hanya melakukan sedikit kesalahan, mereka akan mengutuk kalian habis-habisan. Pelbagai sindiran dikeluarkan oleh mereka,

 “Pakai tudung labuh, tapi bercouple”

“Pakai purdah, tapi mulut macam longkang”

“Pakai jubah tutup litup, tapi perangai macam sampah”

Seperti yang telah dihurai panjang lebar oleh Inche Gabana bahawa Budak Usrah Bukan Malaikat, maka saya tidak perlu menghurai lagi penyataan tersebut. Itu dimaklumkan kepada masyarakat bahawa kalian dan kita ini bukan seperti apa yang mereka jangkakan seperti yang saya nyatakan diatas.

Kita hanya manusia biasa yang sering sahaja melakukan kesalahan. Kita dalam usaha mencari redho Allah dan bukan murka Allah. Bila mana masyarakat tidak selesa dengan apa yang kita lakukan, maka apa pula pandangan Allah terhadap kita? Kita berpakaian ala-ala ustazah kata masyarakat diluar sana kerana kita tahu, kita faham. Perlu menutup aurat dengan sempurna. Pemahaman kita adalah lebih sedikit sahaja daripada mereka yang tidak faham tentang aurat. Ada juga yang perangainya baik, tetapi free hair. Itu juga bukan asbab untuk kita kembali kepada zaman kejahilan untuk turut free hair sama. Jika kita benar-benar faham tentang setiap bait-bait ayat cinta dari Allah itu sendiri, kita akan sedaya upaya untuk tidak melakukan dosa. Namun juga kita bukan maksum.  Kadang-kadang dan selalu juga terlajak melihat lelaki yang handsome dan ingin dijadikan suami. Kadang-kadang terlajak membenci insan yang menyakitkan hati. Tak lupa juga iri hati jika akak naqibah melebihkan perhatian kepada akhwat seusrah lain itu sendiri. Terasa hati dan jelos bila akhwat yang kita rapat bergurau manja dengan akhwat yang lain. Tidak terlepas dari itu semua. Itu karat jahiliah yang masih tersisa. Harus berusaha singkirkannya. Kita ini akan menjadi qudwah kepada masyarakat diluar sana. Namun, jika ada sedikit sisi hitamnya, masyarakat akan kecam dan melenting. Kerana meraka tidak tahu kita ini seperti mereka juga, masih tercari-cari dan mencari serta kita bukan malaikat.

Seharusnya kita berusaha untuk memelihara akhlak kita, ikhtilat dan perangai kita. Agar tidak menjadi fitnah kepada mereka yang bersama-sama dalam gerakan DnT ini. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Pentingkan diri dan kemahuan diri yang akan membuatkan masyarakat diluar sana memandang serong kepada geng-geng islamik ini. Jangankan kerana kita, masyarakat mula tidak suka pada ikhawah dan akhwat yang lainnya. Walau hakikatnya kita ini hanyalah insan biasa yang berusaha untuk mencari pahala, sama seperti mereka diluar sana. Bila mana ada akhwat yang bercouple atau terlanjur melakukan dosa, jangan kata itu masalah dia. Sebenarnya itu adalah masalah kita kerana kita gagal untuk menyampaikan yang benar dan menegur sahabat itu. Manusia sering kali lupa, itu fungsi akhwat untuk saling ingat mengingati. Bukan membiarkan dia tenggelam dalam arus sehingga kembali kepada zaman jahiliah walau luaran terima tarbiyah namun hati tidak kunjung basah.

Moga kita tetap berusaha memelihara iman dan taqwa. Support system itu penting sesama kita. Moga kita menjadi qudwah kepada masyarat diluar sana kerana itu juga salah satu medan kita untuk berdakwah.  Semoga kita Qawi berada dalam jalan yang kita pilih!

21 April 2014 | 1749H | Universiti Tarbiyah Manusia | Skudai_Johor

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel Siapa Kita? Dicoret oleh NH pada hari Isnin, 21 April 2014. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting Siapa Kita?
 

Lets Join Us