Misi Mentadabbur Alam

Bukit Broga Mentadabbur Alam
[Broga Hill View] [400m Elevation] [1.6km Track length]

Dengan Nama Allah, Bismillah
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka
[3:191]

Perjalanan merungkai rahsia alam nan indah demi mencari kekuatan dan kekuasaan pencipta Alam. Indahnya ciptaan Pencipta dalam memelihara dan melukis alam ini dengan penuh hikmah dan teratur yang mana penciptaan alam ini yang teliti melalui beberapa proses yang sememangnya melalui penelitian yang terperinci sahaja mampu menjadikan alam ini begitu sempurna. Dialah Al-khaliq. Allah yang berkuasa atas siap-siap sesuatu.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang tidak lekang selepas menerima pelbagai hikmah sepanjang permusafiran. Impian untuk mentadabbur alam diperkenan dan di izinkan Allah.

Niat utama adalah semata-mata untuk melihat kebesaran Allah sepanjang perjalanan dalam misi mentadabbur alam. Misi tadabbur alam yang pertama ialah Menawan Bukit Broga di Semenyih. Mulakan dengan bismillah dan tetapkan niat yang utama. Melihat kebesaran penciptaan Allah. Kerana semua perkara akan menjadi besar kerana niat, dan akan menjadi kecil kerana niat. Jadi, tetapkan niat sebelum memulakan segala perkara. Paling tidak mulakan dengan nama Allah, "Bimillah".

Perjalanan sepanjang laluan pendakian di Broga tidak terlalu sukar berbanding laluan pendakian semasa mendaki Bukit Cenderawasih (Gua Sami) di Perlis. Laluan lebih selamat dan tidak terlalu curam.

Perancangan ialah mendaki awal untuk melihat matahari terbit, tetapi tidak berkesempatan kerana kelewatan bangunnya. 4.30pg baru bangun. Persiapan dan perjalanan sahaja sudah memakan masa. Lihat sahaja, jika ada program, sanggup sahaja bangun awal dan bersiap awal, tetapi sungguh susah untuk bangun awal untuk tahajjud dan subuh. Allahu.

Sampai-sampai sahaja perlu membayar tapak parking kereta sebanyak RM2 dan terlalu banyak kereta sudah terparking di situ. Melihat daripada jenis kenderaan yang ada, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merangkumi pelbagai bangsa, agama dan kekayaan. Parking di tempat yang 'asal boleh' tak kira sayang kereta dah walaupun mahal. Jelas, pemilik itu lebih mementingkan kesihatan diri daripada kesihatan kereta.

Para peniaga juga sudah bersiap-siap dengan kedai dan ada juga yang dah mula berniaga. Benar hadis nabi, 90% daripada sumber pendapatan adalah daripada perniagaan. Ramai orang melayu islam mengambil kesempatan untuk berniaga dikawasan tersebut walaupun pemilik tapak parking jauh lebih untung walhal hanya ladang kelapa sawit sahaja. Jangan dipandang rendah pada penjaga parking kerana boleh jadi pendapatan sehari dia boleh menjangkau ratusan ringgit.

Sepanjang pendakian, sedikit lelah kerana sudah lama meninggalkan aktiviti seperti itu. Namun, semangat itu menjadi pembakar semangat untuk meneruskan. Semangat itu lah yang membuatkan kami semua selamat sampai ke puncak Broga. Jika mendaki seorang diri mungkin lebih laju, tetapi mendaki secara berjemaah. Perlu memberi semangat kepada yang dibelakang dan membantu. Boleh jadi juga bila mendaki secara perseorangan tidak akan sampai puncak kerana sudah terlalu letih dan tiada yang memberi semangat dan bantuan semasa pendakian. Hidup ini perlu berjemaah, perlu bekerjasama.

Setelah sampai ke puncak, subhanallah! Sungguh indah ciptaan Allah. Tenang, dingin, nyaman, aman, cantik. Indahnya lukisan alam. Tidak rugi mendaki sejauh lebih kurang 1.6km selama 1jam untuk mendapatkan pemandangan yang subhanallah begitu indah! Di gambar sahaja sudah indah, melihat dengan realiti mata itu jauh lebih indah! Rumput lalang dengan campuran objek batu mengindahkan lagi suasana. Lalang itu selari pergerakan dengan tiupan angin. Jangan kita jadi seperti lalang yang tidak teguh pada pendirian, sentiasa mengikut pada arus perubahan tanpa memperkukuhkan kestabilan. Mujur punya akar yang masih ada tapak dan kekuatan pada pegangan. Menjadi tempat pijak dan alas duduk. Mujur masih bermanfaat menutupi alam dari hakisan. Jadilah seperti batu, tetap pada kedudukan, tidak mudah diubah dam terubah. Namun, jangan terlalu keras seperti batu hati itu. Batu juga boleh melekuk kerana sentuhan titisan air yang lembut. Sama juga hati, sekeras manapun hati itu, akan lembut juga jika mendapat sentuhan yang lembut.

Bukit Broga Mentadabbur Alam
[Pemandangan dari puncak Bukit Broga]


Waktu turun lebih pantas berbanding waktu mendaki. Samalah seperti iman dan kejayaan. Menuju iman itu susah dan sukar, banyak halangan dan lambat untuk sampai tahap keimanan yang tinggi. Namun iman itu untuk turun dan jatuh sangat mudah!

Dilihat, manusia itu sanggup berpenat lelah mendaki bukit itu kerana mereka sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan. Tanpa mengira masa dan wang yang perlu dibayar yang penting kesihatan dijaga. Namun, apakah mereka melakukan subuh dan dhuha? Semasa kami sampai sahaja dalam jam 7 masih ada yang bertelekung. Mahu dhuha atau mahu subuh? Alhamdulillah, dia masih mahu melaksanakan subuh kewajibannya. Dhuha itu hanya sunat, tetapi subuh itu wajib. Sanggup mendaki sebelum subuh sehingga lupa kewajiban? Allahu. Moga kamu bukan dalam kalangan itu. Sepanjang penelitian perjalanan mendaki Broga, lensa mata ini mula mencari kata-kata dan pemerhatian untuk mengeluarkan hipotisis dan analisis. Ramai Manusia itu sedar kepentingan menjaga kesihatan diri. Berapa ramai pula yang sedar kepentingan menjaga kesihatan hati?

Semasa di atas Bukit Broga juga kelihatan ada beberapa orang yang membawa plastik hitam dan sepanjang dia berjalan disekitar puncak, dia mengutip sampah-sampah dan juga bertanya kepada pendaki lain sama ada ingin membuang sampah mahupun tidak. Lihatlah, baiknya hati dia mengutip sampah tanpa paksa dan secara rela. Menuruni Bukit Broga bersama sampah-sampah tersebut bagi saya agak sukar jika seseorang itu tidak biasa dengan keadaan bukit yang curam dan licin itu. Namun, dia sanggup membawa turun sampah tersebut sejauh 1.6KM ke tanah rata di bawah. Sudah tentu dia itu seorang yang cintakan alam. Saya kira bukan seorang, tetapi ada juga insan lain yang turut peka terhadap keindahan alam yang perlu dipelihara pemandangan indah itu. Lihat, manusia jika sedar alam itu perlu dipelihara, akan lakukan secara rela kerana kesedaran dan kepuasan. Namun, berapa ramai yang sedar bahawa kebersihan hati itu perlu dipelihara seperti mana alam ini perlu dipelihara? Akal memutar ayat:

Ramai orang pecinta alam, namun berapa ramai orang yang mencintai sang pencipta alam?

Kami terus bermusafir ke daerah baharu di kawasan Kuala Kubu Baru iaitu menuju ke Sungai Chilling untuk misi mentadabbur alam yang kedua dan terakhir. Alhamdulillah perjalanan mudah. Sekali lagi, subhanallah! subhanallah! subhanallah! Terlihat ikan-ikan yang sihat sedang berenang-renang riang secara berkumpulan dan segerak. Berebut-rebut makan pada makanan yang diberi oleh manusia. SUngguh jinak. Tidak pernah dilihat indahnya sungai seperti itu sebelum ini. Alhamdulillah, masih diberi mata untuk melihat bukan sahaja melalui pandangan mata, tetapi pandangan iman.

Perjalanan untuk sampai ke destinasi terpaksa meredah 5 kali sungai [jika tak salah]. Laluan yang tidak begitu sukar tetapi agak juga mencabar. Jauh. Tetapi tidak berapa ingat berapa lama tempoh perjalanan. Setiap sungai itu pasti ada ikan yang berenang. Cantik! Bunyi air sungai itu sungguh menenangkan. Seolah-olah terapi muzik yang mendamaikan. Subhanallah, muzik alam itu jauh lebih menenagkan dan menghiburkan sebenarnya. Dengan iringan bunyi aliran air, cengkerik, angin sudah cukup sempurna dan menenangkan. Subhanallah.

Di akhir perjalanan, terlihat aliran air yang cukup tinggi. Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah! Terlihat juga ikan sedang berenang-renang riang dikaki kami. Sungguh jinak. Air yang sejuk dan mendamaikan. Seperti tidak mahu pulang. Sungguh, tidak pernah dilihat air terjun dan sungai secantik itu selama ini. Jika sungai didunia itu sudah cukup indah ciptaannya, pasti di syurga itu sungainya jauh lebih indah!

Ikan-ikan itu bergeraknya dalam kumpulan, pergerakan berirama. Begitulah kita, perlu juga seiring bersama. Hidup perlu berjemaah.

sungai chilling
[sebahagian ikan yang sempat berposing]

Alhamdulillah, misi mentadabbur alam berjaya. Diberi izin Allah untuk melihat kebesarannya. Bila kita lihat alam ini indah dan cantik, percayalah bahawa syurga itu jauh lebih indah dan cantik. Jika kita melihat dunia ini menakutkan dan menggerunkan, percayalah di neraka itu jauh lebih menakutkan dan menggerunkan.

Jika kita melihat alam ini terlalu cantik dan berkata, 'cantiknya!'. Maka cantik itulah yang kita dapat. Tetapi bila kita melihat alam itu cantik dan berkata 'Subhanallah'. Maka pahala seiring dengan ucapan tersebut. In Sya Allah.

Dalam misi mendatabbur alam ini ada dua golongan. Golongan pertama ialah golongan yang mendapat penat dan kepuasan. Dan golongan kedua ialah golongan yang mendapat penat, kepuasan, dan manfaat (pahala). Walaupun masa pendakian, tempat, laluan adalah sama, tetapi niat itu yang membuatkan mereka berbeza. Jika tetapkan niat kerana Allah, In Sya Allah, pahala seiring dengan kepenatan dan kepuasan. Tinggal pilih, golongan manakah kita?

Perjalanan pulang pula singgah di salah sebuah masjid di daedah Hulu Selangor untuk Jama' Qasar. Alhamdulillah, jamaah kami bukan jenis yang mengabaikan kewajiban sebagai seorang Islam. Solat amat dititik beratkan dan tidak lekang dibibir untuk solat jika belum solat. Semasa singgah di sebuah masjid, kelihatan begitu ramai. Sedikit keluhan kerana ruang solat wanita akan dibuka tirainya untuk memberi laluan pada ceramah tersebut. Maka, kami tiada privasi untuk solat. Sedikit kurang selasa pada awalnya. Setelah usai mengambil wudhu, alangkah terkejutnya kami bila membaca banner ceramah tersebut yang bertulis, "Inspirasi Ammar". Subhanallah, sungguh tidak dijangka. Sebelum ini hanya melihat di facebook dan akhbar, kini didepan mata. Tiada kesempatan bertemu Ammar namun Allah merangka untuk kami bertemu ibu dan ayahnya disitu. Amat sungguh berat untuk meninggalkan majlis ilmu itu, namun perjalanan harus diteruskan. Perangkaan Allah itu indah! Allah menggerakkan hati kami untuk berhenti di masjid itu walhal sebenarnya kami telah terlepas satu masjid sebelum ini.

Sepanjang aktiviti mentadabbur alam, banyak hikmah dan ibrah yang dapat dirungkai. Belajar dengan alam dan melihat kebesaran Allah melalui keindahan Alam. Dahulu, ada pensyarah memberitahu, setiap orang itu sebagai contoh melihat pokok dengan pelbagai perspeksi yang berbeza. Ada yang melihat hanya pada nama pokok. Ada yang melihat pokok dan memikirkan bagaimana pokok itu hidup dan membesar. Dan ada yang melihat pokok itu dengan memikirkan bagaimana boleh terjadinya pokok itu. Dan ada yang melihat pokok itu langsung terus dapat melihat Allah melalui kekuasaannya. Subhanallah. Pada waktu itu, sedikit mempersoalkan hal itu, mana mungkin boleh melihat Allah hanya dengan melihat pokok. Kini benarlah, kata-kata pensyarah tersebut. Kerana, setiap orang itu ada hijabnya mengikut tahap imannya. Makin tinggi imannya, maka makin semua perkara dilihat akan terlihat Allah. Bukan melihat pada zat, tetapi melihat pada sifat.

Melihat pada kehebatan keindahan alam, sudah tentu Pencipta Alam itu jauh lebih hebat! 

Permusafiran pada tanggal 26 Januari 2014 menggamit 1001 kenangan dan cerita yang tidak dapat dilupakan. Hikmah itu sebenarnya jauh lebih mahal daripada pengalaman. Terama kasih kepada sahabat-sahabat yang menjayakan misi mentadabbur alam. Syukran. Semoga ukhwah kita ini tetap fillah!



Hobi baru: Mengembara sambil mentadabbur alam :)


p/s: Misi Mentadabbur Alam ini hanyalah tajuk yang diberikan oleh saya, bukan tajuk rasmi. 


27 Januari 2355 | Umbai, Melaka
Edit 2/2/2012_10:13PM

mentadabbur alam | musafir | riadah | rehlah | Broga Hill | Sungai Chilling

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel Misi Mentadabbur Alam Dicoret oleh NH pada hari Selasa, 28 Januari 2014. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting Misi Mentadabbur Alam
 

Lets Join Us