Daie Itu

[kredit]

[Jiwa ini berhajat untuk menulis, namun jiwa ini lebih selesa membaca isi hati penulis buat masa ini. Ini ialah hasil penulisan yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha. Sangat terkesan dengan kata-kata ini. Memuatkan diri ini lebih kuat untuk memilih jalan yang pahit ini, kerana Syurga itu manis! ]

*****

Duhai hati-hati yang celik,

Hari ini, kita sudah mempunyai ramai penghafaz al-Quran. Kita juga sudah mempunyai ramai graduan agama. Setiap tahun, beribu-ribu pelajar agama merayakan konvokesyen. Begitu juga, kita mempunyai ramai professional dalam pelbagai bidang.

Syukur, alhamdulillah! Tapi kita masih kekurangan satu perkara. Kurang apa? Kita kekurangan daie. Kita kekurangan golongan agamawan dan profesional ini bangkit menjadi pendakwah.


Seorang Mengesani Ribuan Orang

Ummah rindukan daie yang mampu mengusap lembut hati-hati semua golongan. Dakwahnya sampai ke jiwa para cendikiawan, orang awam, kaum terpelajar, orang kurang pelajaran, penduduk kota, penduduk desa, penghuni gedung-gedung mewah mahupun rumah biasa. Daie yang dengan dirinya seorang boleh mengesani ribuan orang.

Kalau daie itu jumlahnya ribuan orang, lagi bagus. Boleh mengesani setiap ceruk alam, insya-Allah.

Umat hajat untuk melihat Islam yang berjalan dalam diri, keluarga, dan dalam aktiviti para pendakwah. Melalui dakwah, akan berlakulah perbaikan umat secara integral, dan mengeluarkan manusia daripada kepekatan jahiliah menuju cahaya Islam.


Penyeru Kepada Allah

Siapa mempunyai cita-cita mahu menjadi doktor hati umat? Mengajak orang lain kepada kebaikan. Tidak kira apapun kerjaya yang kita ceburi akan datang, kita boleh memilih untuk menjadi daie.

Samada kita seorang jurutera, atau doktor, atau ustaz, atau tukang kebun, atau petani, atau penoreh getah, atau penjual nasi lemak, atau juruteknik atau apa sahaja. Selitkanlah di hujung cita-cita ini mahu menjadi daie.

Daie yang macam mana?
Daie ini ada macam-macam sebenarnya. Ada:

1.      Ad-daie ilayya- hanya mengajak orang kepada individu tertentu.
2.      Ad-daie ilaina- hanya mengajak orang kepada kumpulan tertentu.
3.      Ad-daie ilallah- mengajak orang kenal Allah dalam hidupnya. Secara tidak langsung dia kenal juga induvidu dan kumpulan yang harus dia bersama.


Sebaik-baik Perkataan

Sungguh hebat kedudukan ad-daie ilallah ini sehingga Allah SWT mengiktiraf perkataannya di dalam al-Quran.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan, dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim yang berserah diri.” 
(Surah Fussilat: 33).



Duhai hati yang hidup,

Mari bermonolog dengan Allah… 
Aku datang kepada-Mu, duhai Allah. Aku mahu menjadi pekerja-Mu, duhai Allah. Aku hidup sebab hendak penuhi agenda-Mu, duhai Allah. Aku hendak buat apa sahaja yang Kau sukai, duhai Allah. Aku tidak mahu membuat apa sahaja yang Kau tidak sukai, duhai Allah.

Semoga niat baik di hati akan membuatkan Allah SWT sudi memilih hati kita. Lalu, dicampakkan rasa ‘izzah’ (mulia) bagi melantunkan ahsanu qaulan, sebaik-baik perkataan. Hingga, tidak jemu melantunkan kalimah-kalimah daie yang mengajak orang kepada Allah SWT.

Biar orang bosan dengan kita. Jangan sesekali kita bosan dengan orang. Ajaklah siapa yang terdekat,

“Jom, kita baca al-Quran sama-sama. Kita jadi hamba Allah yang baik.”
Mungkin ada hati yang berbisik,
“Erk! Macam poyo!”

Ya. Memang ada yang malu hendak bercakap tentang Allah dalam perbualan seharian. Takut nanti orang kata,

“Hek eleh, alim kucing konon.”
“Hipokrit! Uweks..”


Duhai hati,

Seronokkah kita membiarkan hidup kita tidak bebas? Bukan orang yang memenjarakan kita. Tapi, kita sengaja mengikat diri kita. Terkongkong dengan persepsi orang lain. Kita lalu tidak bebas hendak berbuat baik sebab orang. Sampai bila?

Terpulanglah kita mahu menjadi hamba kepada persepsi orang, atau hamba Allah. Kelak kita bertanggung jawab ke atas pilihan kita ni.

Pilihlah untuk menjadi daie. Tenang di hati. Dicintai Ilahi. Kasih makhluk bertaut sekali. Bahagia hidup hingga ke negeri abadi.


Cahaya Daie

Tanpa daie, masyarakat akan menderita penyakit bodoh.  Mereka akan diperdaya syaitan, jin dan manusia bila-bila masa sahaja.

Daie ibarat lampu pendaflour di jalan yang gelap. Ia memberi cahaya kepada pengguna jalan raya.
Daie juga bagaikan imam dan pemimpin. Mereka menjadi hujah Allah yang berjalan di atas muka bumi. Penyingkir kesesatan di fikiran manusia. Awan keraguan diarak pergi daripada hati dan jiwa mereka. Merekalah teladan dalam pembicaraan dan juga amalan.


Dakwah perlukan Kaedah, Baru Berfaedah

Hendak menjadi daie, bila-bila masapun boleh. Siapapun boleh. Dengan hanya memaniskan wajah, dan berkata-kata baik, kita sudahpun melakukan dakwah. Bahkan dengan menggeleng-gelengkan kepala apabila diajak berbuat maksiat, itu juga dakwah.

Hendak menjadi daie sejati perlukan kaedah dakwah. Kaedah dakwah ni ialah pemahaman tentang seluk beluk dakwah. Tanpa kaedah, kita bimbang dakwah kita lebih membawa kerosakan daripada manfaat.

Daie dengan kaedah berdakwah bagaikan dua sisi wang siling. Tidak boleh dipisahkan. Sebelahnya bercorak bunga-bunga. Sebelah lagi pula, ada nilai mata wang. Kalau ada sebelah sahaja, hilang nilainya.

Moga dengan kaedah dakwah ini, musuh-musuh Islam tidak dapat lagi menuduh para pendakwah Islam sebagai pengganas, pemaksa atau kaki penyibuk. Kaedah dakwah memandu para pendakwah sentiasa berhikmah, berpanduan dalam tindakan, tenang dan waras.

Apa kaedahnya? Tidak cukup ruang hendak bincang. Insya Allah, akan datang.


Daie Terbaik

Daie terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Bila bergelar daie, itu tidak bermakna baginda menjadi manusia yang terpisah daripada rutin manusia biasa yang lain. Bukannya, berpuasa 24 jam. Baginda berpuasa dan berbuka. Baginda juga berjalan di pasar-pasar. Bukannya, menganggap pasar itu jijik dan tidak sesuai untuk orang-orang soleh.

Apabila kita mempelajari kehidupan Rasulullah, kita akan menemui contoh yang paling tepat untuk menjadi daie buat umat.


Berjiwa Daie

Sunnah berdakwah,
sakit dan susah
namun,
awalnya saja payah,
akhirnya penuh barakah,
Allah sudahpun memujuk,
Akhir dakwahmu lebih baik dari awal dakwahmu,
Akhiratmu lebih baik daripada duniamu.

Jika kita tidak mahu berpayah-payah,
dalam berdakwah,
Kita kan payah juga,
Payah,
didera dosa membuang masa,
Bosannya merantai seluruh jiwa.

Wahai pendakwah,
Sabarlah dengan cacian manusia,
Jika ada 10 orang yang  membenci,
ada 1000 yang lain sudi menyayangi,
Jika ada 10 yang mengata,
Ada 1000 bangkit membela.

Namun,
andai seluruh dunia menghinamu,
Jangan pernah berputus asa,
Kerana kau punya kekasih yang Esa,
Dia tetap setia, selamanya,
Selagi kau setia mencintai-Nya,

Dengan setulus-tulus cinta.

---
"Berjuang memang pahit,
Kerana syurga itu manis,
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban,
Rela terhina kerna kebenaran,
Antara dua pasti terjadi,
Tunggulah syahid...
...atau menang..."

- Sunnah Berjuang 2, Nada Murni-
:)


Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel Daie Itu Dicoret oleh NH pada hari Jumaat, 17 Januari 2014. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting Daie Itu
 

Lets Join Us