[kredit]
Dengan nama Allah, aku mula menulis. Tergerak hati untuk menulis kerana bimbang dengan peredaran zaman yang mana muslim hari ini terlalu ramai yang menghidap penyakit wahan. Sungguh, sungguh amat membimbangkan. Aku menulis kerana bimbang, walhal terlalu banyak kerja disisi yang masih belum selesai. Kerja itu cuma kerja dunia, tetapi masalah yang aku lihat ini masalah aku diakhirat nanti.
Masyarakat hari ini aku lihat, selesa. Sangat selesa. Tidur di tilam yang empuk, beralaskan bantal nan gebu. Selimut yang tebal, air yang bersih dan makan yang mewah. Sehingga dia lupa, sebenarnya mereka sedang diuji oleh Allah dengan keselesaan. Apakah hambaNya ini tenggelam dalam nikmat, atau hamba Dia ini bersyukur dengan nikmat.
Allah, aku melihat, maksiat itu terlalu berleluasa. Muslim hari ini aku lihat, terlalu melihat maksiat itu indah. Maksiat itu ibadah. Itu yang aku lihat. Melihat dengan kaca mata tanpa hijab, tanpa cermin. Mengapa aku katakan melihat melalui kaca mata tanpa hijab, tanpa cermin ini? Allah, sungguh, kau telah membuka hijab ku. Yang dahulunya aku melihat dengan hijab, aku tidak nampak yang selama ini, aku hidup dalam masyarakat yang bergelumang dengan dosa. Aku selama ini hidup dalam keadaan yang dikelilingi dengan maksiat. Aku melihat waktu itu, semua maksiat adalah biasa. Normal. Aku melihat, maksiat itu tanpa perasaan yang itu adalah maksiat. Aku pada waktu itu melihat maksiat itu, 'Sweet'. Alhamdulillah Ya Allah, kau buka hijab ku yang kini aku dapat melihat realiti sebenar kehidupan duniaku kini. Alhamduliilah, selama ini aku sedar, aku juga hidup bersama mereka dan aku turut berdosa kerana biarkan maksiat berleluasa. Alhamdulillah ya Allah, kau buka hijab untuk melihat, realiti dunia sebenar ini semuanya dosa. Amat sedikit pahala.
Muslim hari ini, mereka masih lagi terhijab pandangannya. Sama ada pandangan mata dan juga pandangan hati. Kedua-duanya terhijab. Aku mohom, moga dengan kekuasaan dan kebesaranMu ya Allah, kau tarik lah hijab yang ada pada penglihatan mereka. Agar mereka terbangun dari lena, agar mereka sedar, bahawa mereka berada dalam realiti yang sangat menakutkan. Kadang-kadang aku marah, kenapa mereka masih melihat maksiat itu sweet. Tapi aku perlu faham, mereka tidak faham apa yang aku faham. Pemahaman mereka kurang. Mungkin dia tidak tahu, mungkin dia lupa. Moga, muslim hari ini, sedar dalam lena mereka. Mereka tidak salah kerana mereka tidak tahu. Jadi aku yang perlu tahu kan mereka. Tapi bagaimana? Pelukah aku terpekik lolong membantah, menampar mereka yang melakukan maksiat, report polis? Terus ditertawakan polis sahaja nantinya. Jadi apa yang aku perlu buat? Aku hanya mampu benci dalam hati. Walau ia adalah selemah-lemah iman.
Masyarakat hari ini bila ditegur, mereka berkata, "Adakah kau sudah baik sangat, alim sangat? Kau dah terjamin masuk syurga ke?" Sedih melihat soalan itu. Aku ingin akan menjawab dan bertanya, " Ya, aku tak alim, aku tak baik, dan aku tak jamin masuk syurga. Tapi aku taknak masuk neraka. Tapi, dengan maksiat itu, bolehkan kau masuk syurga? Macam senang masuk neraka." Masyarakat ini mudah dikata sebagai jahil. Ya, dia tidak tahu membezakan yang hak dan yang batin. Mereka sebenarnya terhijab. Mereka tidak tahu. Yang mereka lihat ialah perkara maksiat itu rutin dan sudah menjadi biasa. Itu yang mereka lihat.
Aku tidak perlu berkata dan menulis terlalu mendalam. Kerana aku tahu, aku akan diuji dengan apa yang aku tulis. Dan aku tidak akan menulis selagi aku tidak berada dalam keadaan stabil untuk menegur apa yang yang salah. Setiap perkataan ini adalah amanah. Janji pada Allah. Perkataan ini akan menjadi bukti, aku bekerja untuk Allah atau aku bekerja untuk manusia. Kata-kata ini menjadi saksi, kata-kata ini akan menuntut hak pembelaan di akhirat. Jadi, cukup untuk aku berkata. Aku ingin berubah, berubah dari jahil ke lebih baik. Dari leka kepada peka. Dari selesa kepada derita. Selesa ini melekakan dan merugikan akhirat aku. Derita itu selesa akhirat ku.
Moga aku sentiasa dalam jalan mujahadah. Jalan yang mana orang lain pandang tepi, pandang sepi. Yang orang lain melihat jalan ini mudah, tetapi hakikatnya payah. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Allah, kuatkan aku dalam laluan ini.
Yang Benar,
Hamba yang dambakan Syurga
111220131230H_UTMJB_JDT