Puas atau Puasa

Kredit
 
Adalah masih belum terlambat untuk mengucapkan salam ramadhan kepada semua kaum muslimin dan muslimat seluruh dunia. Alhamdulillah diberi kesempatan waktu oleh pemilik waktu untuk tidak menzalimi blog ini dari tersarang dan dimakan anai-anai.
 
Ramadhan atau dalam Bahasa Malaysianya ialah Ramadan. Ada orang yang sibuk mempertikaikan perkataan Ramadan dan Ramadhan tanpa menyibukkan diri dengan persiapan menghadapi bulan mulia itu. Ada yang belum masuk Ramadhan sudah mula sibuk membuat persiapan menghadapi Syawal. Ya Muslimun, keberkatan Ramadhan yang dinanti atau kemeriahan Syawal yang dirai. Apabila sunnah memakai baju baru yang dikejar-kejar sehingga terlupa keberkatan pada bulan ramadhan itu adalah lebih baik dipersiapkan. Apabila 10 malam terakhir kita mempersiapkan rumah dan perkakasan sehingga terlupa bahawa lailatul qadar yang sepatutnya dikejar sudah keciciran. Sepatutnya dalam bulan ramadhan itu dibanyakkan sedekah tetapi lebih meletakkan amal memberi duit raya pada bulan syawal. Seharusnya solat 5 waktu itu dilaksanakan secara berjemaah namun solat sunat itu lebih meriah. Maka, ada yang solatnya 2 kali dalam setahun secara berjemaah di masjid dan yang lebih teruk, solatnya 2 kali dalam setahun. Iaitu solat hari raya. Bila mana para ustaz dan ustazah ini tidak melaksanakan solat sunat hari raya, maka timbul desas desus masyarakat bising mempersoalkan kenapa tidak melaksanakan solat sunat hari raya seolah-olah dia full time berjemaah 5 waktu berjemaah di Masjid.
 
Wahai Jemah dan Jeman sekalian, kalian sudah terbiasa dengan solat Jemaah itu hanya pada solat jumaat dan solat sunat hari raya. Mungkin juga solat jenazah. Kita sering mengejar sunnah sekali sekala sehingga terlupa ada sunnah yang lebih besar dari itu yang kita tinggalkan. Kita memegang, "Setahun sekali, rugi tak pergi". Apakah kita fikir, setiap hari, jam, minit, saat dan detik itu juga  adalah datang hanya sekali dalam seumur hidup? Kita terleka dengan penipuan angka yang di'loop' (baca:berulang). Yang mana setiap hari ada 24 jam, setiap minggu ada 7 hari, setiap tahun ada 12 bulan. Oleh kerana itu kita tidak menghargai setiap detik yang datang sekali dalam seumur hidup itu.
 
Analogi mudah, jika kita terjumpa sepuluh sen, kita tidak akan mengambil, tetapi jika kita jumpa RM10 sudah pasti kita ambil. Nilai 10sen itu sangat mudah untuk dimasuk didalam tabung-tabung masjid, namun nilai RM10 itu amat berat. Walhal ia akan mendapat jumlah yang sama jika dikumpul. Barangkali kita terpukau dengan jumlah yang besar dan sekali sekala datang itu. Begitu juga dalam ibadah, masyarakat seolah-olah bermegah-megah dengan solat sunat tarawih dan solat sunat hari raya sehingga mengabaikan hal yang wajib.
 
Apa yang wajib? Mungkin ada yang jarang-jarang solat fardunya, tapi mengancam solat tarawikhnya. Ada yang solat sunat aidilfitri atas tujuan menunjuk-nunjuk bajunya, tudungnya yang bling2 dan tabbarujnya kepada masyarakat. Ada yang usai solat sunat hari raya langsung membuka tudung dan menunjukkan gaya rambutnya yang bewarna-warni. Itu kebiasaan yang dilihat. Belum menyentuh kepada kewajipan yang sepatutnya dilaksanakan. Berapa ramai yang mengimarahkan solat sunat tetapi masih melakukan maksiat (baca: dosa). Baju berjubah tetapi sendat, berbaju kurung tetapi terbelah kain, tangan, kaki, rambut. Aurat wanita yang kita belajar semasa sekolah rendah itu dari mana sampai mana? Mengapa kita tidak memeliharanya. Malah dengan bangga mengupload di laman social. FB nya sunyi tetapi istagramnya riuh dengan logo love yang banyak. Menutup aurat dengan sempurna itu bukan untuk para ustazah, anak-anak ustazah, 'muslimah' (seperti kebiasaan masyarakat gelarkan kepada mereka yang bertudung labuh), tetapi semua perempuan islam yang mengaku Allah sebagai tuhan, Muhamad sebagai rasul, Al-Quran sebagai kitab, Kaabah sebagai Qiblat. Apakah kalian fikir syurga diciptakan untuk para ustazah, 'muslimah' dan ustaz sahaja? Apakah kalian fikir yang neraka itu hanya untuk orang-orang kafar sahaja. Maka, dimana tempat kalian diakhirat kelak? Kalian mengakui bahawa Allah sebagai tuhan, tetapi mengapa mengingkari perintah tuhan? Jika bos memarahi kita kerana tidak menurut arahan, kita sudah takut, tetapi bersenang lenang melanggar perintah tuhan yang menciptakan kita, malah bermegah-megah dan bangga dengan kemurkaan Allah yang telah kita laksanakan. Bila mana Allah murka, kita didustakan, maka tiada sebarang teknologi yang mampu menyekat kekuasaan Allah. Bila mana ditimpa azab dari Allah, tiada sempat kita untuk tweet, moment, FB dan ista.
 
Kegawatan ekonomi dunia dan Negara sangat membimbangkan, namun kegawatan pemahaman dalam agama, langsung tidak dihiraukan. Bila mana masyarakat menjadikan ibadah sunat dalam bulan puasa itu sebagai amalan tradisi turun temurun, maka ruginya umat muhamad ini melepaskan keberkatan yang terdapat dalam bulan Ramadan itu sendiri.
 
Bulan Ramadan bagi ahli ibadah itu adalah bulan yang ditunggu-tunggu. Persiapan mereka adalah beberapa bulan sebelum bertemu Ramadan agar dalam bulan tersebut dapat menjalankan ibadah dengan lebih baik penghayatannya dan kesempurnaan perlaksanaannya. Merasai nikmat berpuasa kerana Allah semata-mata itu bukan hanya semudah dilontarkan dengan kata-kata, dan mampu dinilai dengan mata, tetapi dirasa dihati, dan iman semakin sebati dalam diri. Ayat Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 2:183 yang mana diperintahkan kepada orang-orang yang beriman agar berpuasa, supaya bertaqwa. Perkataan orang beriman itu bukan lah juga diberi secara mudah kepada orang islam sama seperti gelaran dato' dan datin. Iman itu perlu dicari, digali sehingga terasa bahawa dunia itu adalah tiada apa-apa manfaat. Hanya cintakan akhirat, rindukan syurga, ingin bertemu tuhannya dengan kadar segera. Taqwa itu juga mudah diungkap dengan kata-kata, tetapi ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya adalah payah dan susah. Allah menyuruh orang beriman untuk berpuasa. Maka persiapan kita bertemu ramadhan untuk berpuasa ialah membina iman dahulu sebaik mungkin, maka barulah kita dapat merasai berpuasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, menahan lidah dari berkata-kata dusta, memekakkan telinga dari kemaksiatan yang mampu menggugurkan pahala. Berpuasa sehinga perasaat taqwa itu terbit. Tiada perkara yang jauh lebih indah selain merasai kemanisan iman itu sendiri.
 
Tidakkah kita terfikir, bagaimana orang yang miskin hidupnya mampu melemparkan senyuman, dan orang kaya masih tetap bermasam muka. Manusia mengukur kekayaan sebagai kebahagiaan dan kemiskinan itu adalah kesusahan. Mereka tidak merasai kemanisan itu adalah suatu nikmat yang tidak dapat dilemparkan dengan kata-kata yang seindah bahasa sekalipun.
 
Ramai yang berpuasa tetapi tidak solat. Sedangkan solat itu adalah perkara paling asas dalam ibadah. Ramai yang solat tetapi tidak menutup aurat, maka apakah maknanya kita solat tetapi tetap tidak capai ketaqwaan kepada Allah kerana masih tetap melanggar perintah Allah. Muslim yang sebenar-benar muslim itu, akan tertunggu-tunggu kehadiran ramadhan dan menangisi kehadiran syawal. Namun kebanyakan mengeluh dengan kehadiran ramadhan dan meraikan syawal. Kerana apa, kerana mereka berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga. Maka apa bezanya puasa kita dengan puasa orang kafir? Mereka juga berpuasa, namun langsung tiada perasaan ketaqwaan kepada Allah.
 
Berpuasa itu mendidik kita untuk berlapar dan dahaga agar tertunduk nafsu. Namun, mata merenung tajam juadah-juadah di bazar dan membeli mengikut nafsu, makan sebanyak mungkin sehingga terlupa bahawa salah satu manfaat berpuasa adalah untuk kesihatan. Maka jangan mempersoalkan mengapa kita berpuasa namun masih tidak kurang berat badan, masih ada darah tinggi dan obesiti. Masih ramai orang islam yang berpenyakit. Jangan disalahkan puasa, tetapi salahkan kepada orang yang berpuasa tanpa mengikut sunnah!
 
Kadang kita mengeluh, mengapa perlu separuh jalan puasanya walhal lagi 15 minit masuk waktu berbuka. Maka, belum mencapai lagi tahap ketaqwaan kepada Allah. Puasa itu masih pada tahap menahan lapar dan dahaga. Jika puasa kerana Allah, tiada masalah walau hanya tinggal seminit waktu berbuka tetapi terbatal puasanya.
 
Puas atau puasa? Puaskah kita berpuasa penuh, puaskah kita bertarawikh penuh, puaskah kita dengan menunaikan solat sunat hari raya dengan baju baru? Puaskah? Jika kita inginkan kepuasan, maka kepuasan itu yang diperoleh. Jika kita berpuasa kerana ketaqwaan, moga Allah beri perasaan taqwa itu kepada kita. Ameen.
 
Wallahu'alam. Semoga ramadhan kali ini, kita benar-benar mendapat ketaqwaan kepada Allah seperti yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah di atas.
 
Kita adalah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan
 

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel Puas atau Puasa Dicoret oleh NH pada hari Selasa, 8 Julai 2014. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting Puas atau Puasa
 

Lets Join Us