[kredit]
Assalamualaikum, sekian lama pemergian menjelajah alam merungkai rahsia tuhan. Diri telah menapak selangkah menuju redha Allah. Perjalanan yang penuh liku, dilangkah penuh hemah. Melingkari seluruh pelusuk alam yang tesergam indah. Nyaman udara dihirup dari pelusuk dunia kini terasa. Dari utara tanah air, dirinya dicampak ke satu daerah yang cukup asing baginya. Persekitaran baru. Kehidupan baru. Dia kini bergelar seorang yang bekerjaya.
Tempoh itu digunakan sebaik mungkin, mencari Ilmu untuk digunakan semasa alam persekolahannya kelak. Jika ditakdirkan dia diterima untuk mencari ilmu kifayah itu. Jam berdetik laju, dihuni rumah kosong itu. Sendirian tanpa teman. Tiada hiburan, keperluan asas sahaja yang tersedia. Baginya, cukuplah ada air dan api untuk meneruskan hidup di negeri orang. Alhamdulillah. Diambil kesempatan waktu hidup sendirian yang penuh kesederhanaan itu, dicarinya tali untuk meraih cinta Ilahi. Semakin hari, semakin dekat. Cinta kembali berputik setelah sekian lama menghilang. Kadangkala, tali itu licin, dirinya terjatuh. Sakit bukan kepalang. Hanya air mata yang menggambarkan keperitan yang dideritai. Alhamdulillah, teman itu sentiasa ada menghulurkan tangan membawa diri terbang mencari cinta yang semakin jauh.
Dalam perjalanan bergelar yang bekerjaya, dirinya disapa mesra oleh satu pihak. Tak diduga, tak dipinta, itu yang diterima. Hatinya berat untuk melangkah hari berikutnya. Setelah mendapat buah pandangan dari ramai pihak, akhirnya dia menerima pinangan itu. Selebihnya diserahkan pada penciptanya yang lebih maha mengetahui.
Hari silih berganti. Dalam menghadapi kehidupan yang biasa, kini menjadi luar biasa. Hadirlah lamaran pertunangan dari pihak itu. Akal berputar laju. Hati terasa berat. Mencari pendapat dan sokongan. 50 dari mereka menyokong, 50 dari mereka membantah. Dia rebah ke bumi. Air itu mengalir tanpa henti, seolah aliran sungai deras menuju ke hilir. Memerlukan 0.0001% sahaja untuk menyokong atau membantah. Mencari dia, dia hanya kata, "Allahkan ada". Jawapan yang sungguh sistematik dan drastik. Terima kasih untuk jawapan itu. Sungguh sangat membantu. Air mata jatuh. Keputusan harus disegerakan. Akhirnya dia nekad, menerima lamaran itu.
Bukan semudah yang dijangka, prosesnya mudah tetapi disukarkan. Mereka enggan melepaskan dia walau mereka tahu itu terbaik buat dia. Kerapkali dibasuh fikirannya agar tetap bersama mereka. Allah, beratnya. Mengapa begitu sukar mereka melepaskannya. Dia redha. Berganti hari, semakin dekat. Kini dia gelisah. Dia berdoa melalui hati kecilnya, "Ya Allah, bantulah aku dalam ujian mu ini, ringankan hati majikanku untuk merelakan pemergianku. Aku ingin mencari ilmuMu. Bantulah aku, aku tidak segagah orang yang melihat luaranku. Bantulah aku".
Langkah kanan menerpa dipintu bilik itu, kelihatan muka yang memerlukan sedikit masa lagi untuk berbincang. Dia tahu, bukan sedetik dia akan berada dalam bilik itu. Hatinya ditabahkan juga. Setelah mendengar hujah, pandangan dan pendapat dari pihak majikan, dia tetap pada pendiriannya. Meninggalkan kawasan itu. Akhirnya orang itu merelakan walau wajahnya berat membenarkan. Alhamdulillah! Itulah kalimat paling indah pada waktu itu. Bukan sahaja diluluskan, malah dikurangkan bayaran lebih dari separuh. Walau angka tersebut 1/3 gajinya.
Hari-hari terakhir, ditatapnya rumah kecil itu. Kini dia kembali sendirian tanpa penghuni. "Rumahku, kamu banyak mengajar aku erti hidup yang sebenar. Kamu membantu aku mendekatkan diri kepada tuhanku. Kamu dan penghuni kamu yang aku tidak dapat lihat berlaku baik padaku. Terima kasih kerana tidak mengganguku walau hanya kerana aku pendatang baru", kata hati kecilnya kepada rumah itu.
Melangka ke pejabat zaman British itu, ditatap komputer depan matanya. "Terima kasih kerana memudahkan urusanku. Banyak pengalaman baru aku terima daripadamu. Engkau sumber rezekiku dengan izin Allah" kata dia. Dilaksanakan tugas-tugas terakhir dengan penuh semangat. Namun, masa begitu pantas berlalu, tidak dapat dia selesaikan tugas itu hingga akhir. Sedih hadir. Namun dipujuk bos kecil. "Tidak mengapa, awak dah banyak bantu saya. Yang mana tak siap tu, nanti saya suruh budak baru yang siapkan", kata bos kecil itu dengan wajah yang sedikit sedih kerana masih berat untuk melepaskan. Berbual lama, akhirnya jam memberi isyarat bahawa dia harus segera pulang. Hari semakin gelap. 50 minit berjalanan harus ditempuh sendirian di kawasan ladang kelapa sawit dan getah sepanjang perjalanan. Dia meminta diri, meminta maaf atas segala kekurangan sepanjang dia berkhidmat. Dia meminta doa dari bekas majikannya mengiringi kepulangannya.
Ribuan ringgit dibelanjakan, kini dia melangkah ke alam baru. Jauh dari keluarga, di negeri orang. Berat hatinya melihat ibu bapanya beransur pergi. Dia harus tabah! 2 minggu bergelar JP. Dalam mendengar kuliah, diri sekali lagi menerima lamaran untuk melanjutkan pengajian ke takuk yang lebih tinggi. Hati dia kini bercampur baur. Ingin diteruskan, tetapi minat masih belum menerpa untuk apa yang dia sedang meniti ini. Hatinya kini berat pada lamaran itu. Dalam lamunan, dia tersentap, Ya Allah, apa kata ibu bapaku, sangat sekali dia kecewa padaku nanti. Setelah diperiksa, ternyata, dia ditawarkan dalam bidang yang betul-betul ditunggu-tunggu olehnya. Hati memberontak ingin pergi. Namun, belum meminta izin pada orang tuanya. Gadjet itu diangkat lalu terus mencari nama " Usrati Ummi". Jantung berdegup kencang, kedengaran suara ibu, lantas hatinya terus lemah untuk berkata-kata. Lidah terkelu. Sangat risau kerana apa yang bakal dipinta mengecewakan. "Ya Allah, bantulah aku." Pinta hati kecilnya.
Dalam perbincangan itu, biarlah menjadi rahsia. Alhamdulillah, ibu bapa merestui keputusan dia. Redha Allah terletak pada redha Ibu dan bapa. Itu pegangan dia. Jika kedua ibu bapa dia tidak membenarkan, dia harus tetap pada landasan apa yang diinginkan oleh kedua mereka.
Apa yang bermain difikirannya kini, apa kata masyarakat terhadap keputusan dia. Allah lebih mengetahui. Dia kesempitan wang. Mencari ikhtihar mencari wang perbelanjaan untuk hari mendatang. Alhamdulillah, diterima bekerja di stesen minyak sebagai juruwang. Agak penat, mula jam 6.15 pagi, hingga 3.30 petang. Tugas yang harus dilaksanakan, jaga kaunter wang, mengira stok, menambah stok, membersihkan kawasan dalam kedai. Allah, tidak termampu dia laksanakan semua tugas itu sendirian. Perlu mengira satu persatu stok, dengan pelanggan tak putus-putus datang. Dengan kerenah pelanggan yang bermacam-macam ragam. Mudah-mudahan, rezeki dia halal. Gaji yang RM600 lebih sahaja. 2/3 dari gaji dahulunya. Beginilah rasanya bekerja sebagai jawatan tanpa melihat pendidikan. Mentalnya tidak dikerah, namun fizikal nya dikerah. Gaji yang diterima hanya sekelumit cuma. Alhamdulillah, nilai itu walau sedikit dari apa yang dijangka, cukuplah halal dan berkat baginya.
Kini, dia bergelar sebagai seorang mahasiswa untuk pengajian sarjana muda universiti selatan tanah air. Tidak terjangka, dia dapat menjejakkan kaki di universiti yang terkenal dengan gelaran "Susah Masuk, Senang Keluar". Rata-rata mereka, pointer 3.5 keatas. Dia sahaja yang kurang 3.00. Cabaran besar bagi dia. Kini, apa yang diimpikan tercapai. Azamnya, mencari sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Dan target yang paling besar, menjadi murabbi kepada adik-adik usrah kelak walau kelihatan agak mustahil dengan ilmu agama yang tidak seberapa. Allah akan membantu hambanya yang membantu dia melebarkan jalanNya. In Sya Allah.
Semoga sahabat yang aku cintai itu, turut merasakan, seronoknya berada di bumi yang aku pijak ini. Yang indah disini bukan kecanggihan teknologi, itu semua duniawi. Namun, ukhwah yang aku jumpa, lebih bernilai daripada itu. Semoga, murabbi, akak rumate, dan sahabat sebulatan gembira membimbing aku menuju cinta ilahi.
Sahabatku di lintasan laut china selatan,
Ketahuilah, jika Allah tetapkan kita untuk bersama menuju jalan mujahadah,
Dia akan meletakkanmu disini,
Untuk kita bersama-sama berjuang mencari redha ilahi.
Namun, jika ditakdirkan dirimu diletakkan jauh dari tempat ini,
Ingatlah, Allah ada lebih 1001 rahsia dan hikmah atas mu.
Berdoalah agar kita tetap bersama, di landasan yang sama.
Amin
1218_26092013_J_Darul_Takzim
Usaha Tawakal Mujahadah