Kepada Sahabat Seperjuangan.....

Assalamualaikum kepada Sahabat-sahabat saya yang bakal menjadi pemimpin. Jadilah pemimpin yang adil dalam memerintah. Mentadbirlah kerana Allah dan jauhkanlah diri dari perasaan Riak dan 'gila kuasa'. Lakukanlah apa yang termampu olehmu kerana Rasulullah ada bersabda yang membawa maksud:

Dari Jarir r.a katanya:”Aku berjanji kepada Rasulullah s.a.w akan setia dan patuh dan memberi nasihat kepada setiap orang muslim. Lalu beliau bersabda kepadaku:”Lakukanlah sekuasamu.”
(Muslim)

Janganlah kita berjanji jika kita tidak mampu melaksanakannya. Apa yang kita lakukan akan dinilai oleh Allah dan masyarakat. Allah akan menilai secara adil. Namun manusia akan menilai melalui desakan syaitan untuk menjatuhkan seseorang. Penilaian daripada manusia itulah yang kita takutkan. Bukan takut selain daripada Allah, tetapi kerana penilaian yang tidak adil daripada manusia itu sendiri akan memecah-belahkan perpaduan yang kita bina.

Selain itu,

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”.
Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Melalui hadis ini dapatlah dihuraikan bahawa

1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T.
Pertama : Bertaqwa
Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)
Ketiga : Tidak menonjolkan diri

2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.

3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat SOMBONG, EGO dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

4. Janganlah sekali-kali bangga dengan pangkat dan harta yang ada di dunia ini kerana semua itu merupakan nikmat didunia semata-mata.

Wahai sahabat, biarkan mereka yang berkuasa dan ditadbir oleh perasaan SOMBONG dan EGO itu dengan kehidupan mereka. Kita jadikan Al_Quran dan Hadis sebagai pegangan hidup kita kerana dengan itu, kita akan lebih disenangi dan yang paling penting, mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Insyaallah.

Ada juga hadis yang menyebut:

Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata:” Nabi SAW berkata kepada ku:”Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.”

(Bukhari dan Muslim)

Melalui hadis ini,
Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan perkataan lain menjadi orang yang GILA KUASA. Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah. Kebiasaannya orang yang GHAIRAH memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu. Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati. Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insyaAllah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.

Janganlah kita gila kuasa. Tak ada gunanya. Ingatye....

Rasulullah juga ada menyatakan yang membawa maksud:

“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”
(Riwayat Muslim).

Huraian
i) Setiap manusia nilainya yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Jika baik tingkahlakunya maka baiklah dia pada pandangan kita, begitulah sebaliknya.

Ii) Namun pada pandangan Allah S.W.T selain daripada tingkahlaku dan amalan, nilai yang terpenting adalah pada niat orang yang melakukan sesuatu amal perbuatan itu sendiri.

Iii) Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana sesuatu kebaikan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas di mana maksud ikhlas tersebut ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T.

Iv) Lawan ikhlas adalah riya’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek). Sifat ini akan menolak pahala daripada Allah S.W.T.

V) Seorang yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan memuaskan.

vi) Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu di mana keikhlasan akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Lakukanlah tugas kita semata-mata kerana Allah, maka hasil yang bakal diperoleh pasti akan berkualiti. Jangan melakukan sesuatu tugas itu untuk menunjuk-nunjuk. Buatlah apa yang termampu seperti apa yang dinyatakan dalam hadis yang pertama tadi.

Selain daripada itu, Janganlah membangga diri. Rasulullah ada menyatakan bahawa:

“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.
(Riwayat Muslim)

Huraian
1. Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.
2. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.
3. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Melalui hadis dan huraian ini, dapatlah disimpulkan.

Walaupun kita seorang pemimpin yang berkuasa sekalipun, jaganlah kita bermegah-megah dengan kekuasaan yang ada. Janganlah kita mendapatkan contoh yang tidak baik yang lahir daripada mereka yang gilakan pangkat dan kuasa. Biarkan mereka dengan hidup mereka. Jika ada diantara kita yang sedemikian rupa, tazkirahlah dengan cara baik.
Kita tidak punya kuasa untuk mengubah keperibadian seseorang melainkan dia sendiri yang mengubah dirinya. Jika kita sayang pada mereka, doakanlah mereka agar mereka diberikan oleh Allah SWT hidayah sebelum mereka ditarikkan 'nikmat' yang mereka ada sekarang ini oleh yang Maha Berkuasa.

Kita melihat ada diantara kita yang mempunyai sifat bangga dengan pangkat yang pernah disandang dan bakal disandang. Sebenarnya mereka lupa dan mungkin sengaja melupakan bahawa Allah lebih berkuasa daripada mereka. Mengapa perkara seperti ini berlaku? Mungkin kerana mereka lebih menurut kata penghasut dimana penghasut itu adalah penghuni neraka Allah. Janganlah kita turut serta termakan hasutan mereka. Mereka lupa kekayaan dan pangkat didunia ini hanya permainan dunia yang hanya sementara. Mereka juga lupa bahawa Allah tidak memandang pada kekayaan dan pangkat mereka, tetapi Allah memandang pada keperibadiaan seseorang yang mulia.

Jadilah pemimpin yang adil, Janganlah kita memerintah mengikut hasutan penghasut yang sentiasa menghasut untuk menurut kata penghasut agar melakukan apa yang dihasut oleh penghasut...

تفعل أشياء في سبيل الله. Insyaallah...

Yang baik datang daripada Allah dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Tujuan saya cuma satu, ingat mengingati antara satu sama lain. Maaf jika ada kesilapan sama ada tersurat mahupun tersirat. Saya manusia biasa yang tidak jemu melakukan kesalahan...

Happy Sokmo Shidota's Tomonachi!!!

Penulis : NH Pengisian yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri

Artikel Kepada Sahabat Seperjuangan..... Dicoret oleh NH pada hari Selasa, 27 April 2010. Semoga yang baik dijadikan pegangan dan yang buruk dijadikan sempadan 0 Any komen dan kritik: di posting Kepada Sahabat Seperjuangan.....
 

Lets Join Us